8,353 mangsa banjir di 132 PPS 7 negeri

8,353 mangsa banjir di 132 PPS 7 negeri

Hanya Perlis yang merekodkan peningkatan jumlah mangsa banjir kepada 2,219 orang.

pps
Jumlah mangsa banjir di Terengganu, Selangor, Kelantan, Perak, Pahang dan Kedah terus mencatatkan penurunan kepada 6,134 orang pagi ini berbanding 6,511 orang malam tadi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jumlah mangsa banjir di tujuh negeri terus berkurangan kepada 8,353 orang di 132 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 7.15 pagi ini.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, jumlah mangsa banjir di Terengganu berkurangan kepada 262 orang daripada 96 keluarga pagi ini berbanding 287 malam tadi. Mereka ditempatkan di 37 PPS di Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu, Dungun dan Marang.

Selangor turut mencatatkan penurunan kepada 1,839 mangsa banjir daripada 524 keluarga yang berlindung di 27 PPS di Kuala Selangor, Kuala Langat, Sepang dan Sabak Bernam pagi ini berbanding 1,918 orang malam tadi.

Keadaan di Kelantan juga sama, di mana jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 181 orang daripada 71 keluarga yang berlindung di dua PPS di Pasir Mas pagi ini berbanding 203 orang malam tadi.

Jumlah mangsa banjir di Perak berkurangan kepada 3,462 orang daripada 1,005 keluarga pagi ini berbanding 3,684 orang malam tadi. Semuanya berlindung di 21 PPS di Hilir Perak (1,902), Perak Tengah (538), Bagan Datuk (491), Manjung (506) serta Larut, Matang dan Selama (25).

Di Pahang, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 198 orang daripada 51 keluarga pagi ini berbanding 200 orang malam tadi. Mereka ditempatkan di 10 PPS di Bera, Maran, Temerloh dan Kuantan.

Jumlah mangsa banjir di Kedah turut berkurangan kepada 192 orang daripada 57 keluarga di 14 PPS di Kubang Pasu dan Kota Setar pagi ini, berbanding 219 orang malam tadi.

Bagaimanapun, keadaan berbeza di Perlis yang mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir kepada 2,219 orang daripada 817 keluarga pagi ini berbanding 1,503 orang malam tadi.

Mereka ditempatkan di 21 PPS di Padang Besar (899), Arau (736) dan Kangar (584).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.