
Loh berkata, beliau bersama Setiausaha Pemuda DAP Johor Suweeta Lam Xiao Wei, Setiausaha Penganjur Lee Jia Hau dan Ahli Jawatankuasa Lee Wan Chian menyerahkan surat peletakan jawatan kepada sekretariat Pemuda DAP Kebangsaan pagi semalam.
Menurutnya, keputusan itu selepas mereka mendapati semakin sukar mengimbangi tugas organisasi dengan komitmen kerja, keluarga dan urusan peribadi.
“Johor satu-satunya negeri yang mana parti ini (DAP) bukan sebahagian daripada kerajaan negeri.
“Selepas pertimbangan teliti, kami secara sukarela berundur bagi memastikan sayap negeri dapat terus berfungsi dengan baik dan lebih bersedia menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau menggesa sekretariat kebangsaan mempercepatkan pemilihan semula supaya pengganti mempunyai masa mencukupi untuk merangka hala tuju sayap negeri dan memperkukuh usaha mendekati pengundi muda menjelang PRN Johor serta PRU16.
Pada masa sama, Loh berkata, beliau dan Lam yang turut mempunyai jawatan dalam Jawatankuasa Pemuda DAP Kebangsaan akan terus berkhidmat di peringkat pusat.
Beliau turut menyuarakan sokongan penuh kepada Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong serta empat keutamaan dasar sayap itu, iaitu pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti, penyelarasan kemasukan universiti, pengembalian pendidikan politik dan pengambilan bakat muda.
Sebagai pengarah pendidikan politik kebangsaan, katanya, beliau akan terus bekerjasama dengan Woo bagi memperkasakan pendidikan politik dalam DAP.