
Parti itu berjaya mempertahankan kubu kuatnya di pantai timur dan menembusi kawasan pantai barat, dengan memenangi 25 kerusi secara keseluruhan.
Ini menandakan peningkatan besar buat parti tempatan yang diterajui bekas ketua menteri, Shafie Apdal, selepas berdepan satu siri tindakan lompat parti selepas pilihan raya 2020.
Warisan turut mencatat prestasi buruk ketika bertanding solo pada PRU 2022, dengan hanya menang tiga kerusi Parlimen di Sabah berbanding lapan pada 2018, ketika ia bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Shafie memenangi kerusi Senallang buat penggal ketiga dengan majoriti selesa, manakala Warisan turut berjaya mempertahankan Silam, Merotai dan Sebatik.
Pencapaian terbesar Warisan ialah berjaya menembusi kerusi bandar yang majoriti pengundinya kaum Cina, di mana parti itu memainkan peranan besar dalam menyingkirkan DAP daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dengan merampas Luyang, Likas, Sri Tanjong, Tanjong Papat, Elopura dan Kapayan.
Ia juga berjaya mempertahankan kerusi Tanjung Aru, apabila Naib Presidennya, Junz Wong, menang dengan majoriti 3,588 undi, walaupun tanpa sokongan PH kali ini.
Bagaimanapun, Warisan kalah di beberapa kerusi utama seperti Kunak, Petagas, Banggi dan Moyog.
Pada 2018, Warisan menang 21 daripada 60 kerusi dipertandingkan dan menambah dua lagi kerusi dalam PRN 2020. PRN kali ini, parti itu bertanding semua 73 kerusi DUN.
Sebelum ini, Shafie dilaporkan berkata, Warisan tidak akan bekerjasama dengan parti berpangkalan di Semenanjung jika perlu membentuk kerajaan negeri selepas PRN.