UniMAP perkenal 2 bas elektrik

UniMAP perkenal 2 bas elektrik

Ia sebahagian usaha UniMAP ke arah merealisasikan sasaran kampus rendah karbon menjelang 2030.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyempurnakan pelancaran bas elektrik di Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra, baru-baru ini.
PETALING JAYA:
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memperkenalkan dua bas elektrik (EV) baharu sebagai mobiliti harian lebih selamat, selesa dan mesra alam kepada pelajar serta warga universiti itu.

Inisiatif itu menandakan komitmen proaktif UniMAP dalam menyokong pembangunan teknologi hijau serta pengurangan pelepasan karbon, selaras aspirasi kelestarian negara dan agenda peralihan tenaga nasional.

Ia juga sebahagian usaha UniMAP ke arah merealisasikan sasaran kampus rendah karbon menjelang 2030.

Pelancaran itu disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang juga canselor UniMAP di pekarangan Dewan Tuanku Canselor Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra, baru-baru ini.

Bas EV itu turut dilengkapi ciri mesra orang kurang upaya seperti ruang khas kerusi roda, akses masuk rendah (low-floor) serta pelbagai ciri keselamatan tambahan bagi memastikan perjalanan lebih mudah, selesa dan inklusif.

UniMAP berkata, penggunaan bas EV mampu menawarkan perjalanan lebih senyap dan mesra pengguna, di samping berpotensi mengurangkan kesesakan trafik dalam kampus serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam lebih efisien dan mampan.

Katanya, ia komited terus memperluaskan penggunaan mobiliti hijau pada masa depan, termasuk penambahan lebih banyak kenderaan elektrik dan pembangunan infrastruktur pengecasan di seluruh kampus bagi menyokong ekosistem mobiliti mampan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.