
Bekas ketua menteri itu berkata selain memenangi 25 kerusi, Warisan turut meraih lebih 300,000 undi daripada pengundi pelbagai etnik di kawasan bandar dan luar bandar di seluruh negeri.
Shafie turut beri penghargaan khusus kepada pengundi Cina, atas perubahan besar sokongan komuniti itu yang membolehkan Warisan menang di beberapa kawasan bandar yang sebelum ini dianggap kubu kuat DAP dan PKR.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengundi terutama masyarakat Cina di kerusi bandar kerana beri undi yang besar.
“Semua kerusi di kawasan majoriti Cina telah beri sokongan kepada Warisan,” katanya dalam satu sidang media di Kota Kinabalu.
Katanya, beliau tidak pernah melihat lonjakan politik sebegini sepanjang 36 tahun penglibatannya dalam politik.
Shafie, yang berjaya mempertahankan kerusi Senallang, berikrar bahawa Warisan akan terus memperjuangkan pembentukan sebuah kerajaan negeri yang bersih dan kepimpinan bebas rasuah.
PRN itu menyaksikan Warisan membuat kemajuan besar di kawasan bandar majoriti Cina, dengan parti itu memainkan peranan utama menyingkirkan DAP daripada DUN Sabah selepas merampas Luyang, Likas, Sri Tanjong, Tanjong Papat, Elopura dan Kapayan.
Warisan turut mempertahankan Tanjung Aru dengan selesa, apabila naib presidennya, Junz Wong, menang dengan majoriti 3,588 undi walaupun tidak menerima sokongan Pakatan Harapan kali ini.
Parti itu juga memenangi Api-Api dan Inanam, dua kubu kuat PKR.