Pengundi Sabah tolak DAP kerana dah jadi seperti MCA, kata aktivis

Pengundi Sabah tolak DAP kerana dah jadi seperti MCA, kata aktivis

Johan Ariffin Samad berkata pengundi termasuk bukan Cina, menjadi semakin kecewa dengan DAP yang dahulunya sebuah parti yang lantang dan berani.

Phoong Jin Zhe
Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe malam tadi berkata kekalahan besar DAP dalam PRN Sabah jelas menunjukkan pengundi kecewa dengan parti tersebut. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang aktivis mengaitkan kekalahan besar DAP Sabah pada PRN semalam – apabila parti itu tewas di semua lapan kerusi yang ditandingi – kepada rasa tidak puas hati pengundi Cina terhadap kemerosotan parti itu.

Johan Ariffin Samad berkata beliau tidak terkejut dengan keputusan tersebut kerana pengundi, termasuk bukan Cina, kecewa apabila DAP yang sebelum ini dilihat lantang dan berani, kini menjadi ‘bisu’.

“DAP dahulu sangat berterus-terang, tetapi sekarang mereka dianggap parti seperti MCA selepas menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Mereka menjadi senyap dalam banyak perkara. Sebab itu orang menjadi kecewa dengan mereka,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata rasa tidak gembira pengundi Cina terhadap isu ekonomi turut menjadi faktor komuniti itu menjauhi DAP.

“Mereka merasakan mereka diperlakukan secara tidak adil dalam banyak perkara, termasuk ekonomi. Ia sukar untuk mereka, terutama yang menjalankan perniagaan sendiri.”

Pandangan Johan itu seiring dengan kenyataan Pengerusi DAP Sabah Phoong Jin Zhe malam tadi yang mengakui keputusan itu jelas menunjukkan pengundi kecewa dengan parti tersebut.

Sementara itu, penganalisis James Chin dan Awang Azman Awang Pawi terkejut terhadap prestasi buruk Pakatan Harapan, yang hanya menang satu daripada 22 kerusi yang ditandingi, menunjukkan gabungan itu kehilangan sokongan di kerusi bandar.

Chin dari Universiti Tasmania berkata sentimen anti-Persekutuan jelas ketara, susulan kemarahan rakyat Sabah terhadap kegagalan kerajaan PH-BN menjelaskan tindakan memfailkan rayuan berhubung ‘kecacatan’ dalam keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan tuntutan 40% hasil negeri.

“Walaupun kerajaan Persekutuan kata mereka tidak merayu formula 40% itu dan hanya merayu terhadap ‘bahasa’ dalam keputusan tersebut, rakyat tidak mempercayainya. Itu benar-benar menyusahkan mereka,” katanya ketika dihubungi.

Chin turut berkongsi rasa tidak puas hati pengundi Cina apabila beberapa pemimpin DAP Sabah yang juga Ahli Parlimen bertanding di kerusi DUN – langkah yang disifatkannya sebagai ‘tamak’.

“Masalah terbesar ialah mereka (DAP) tidak dapat menjelaskan kepada rakyat Sabah tentang sumbangan mereka kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah. Rakyat tidak menerima hujah bahawa DAP boleh mewakili masyarakat Cina Sabah kerana ia parti dari Semenanjung.”

Awang Azman pula berkata kekalahan DAP tidak mengejutkan memandangkan sudah ada tanda-tanda sentimen ‘Sabah untuk Sabah’ sejak 2020, dan DAP dianggap parti Persekutuan yang ‘menguasai’ urusan politik negeri itu.

“PH menjadi mangsa terbesar sentimen ini,” katanya.

“Walaupun BN dan GRS juga dianggap parti nasional atau disokong Persekutuan, mereka berjaya membina naratif ‘lokal’ melalui kepimpinan Hajiji Noor dan Bung Moktar Radin.”

Hajiji ialah pengerusi GRS, manakala Bung ialah pengerusi BN Sabah.

“Manakala, PH pula dilihat sebagai parti tanpa pemimpin tempatan yang kuat sehingga mereka terpaksa mengambil Yamani Hafez Musa, Ruji Ubi dan Jamawi Jaafar, yang datang dari parti luar,” katanya.

Yamani dan Jamawi sebelum ini adalah dari Bersatu dan GRS sebelum menyertai PKR, manakala Ruji adalah bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan sebelum menyertai parti itu pada lewat September.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.