‘Pelik’ papar bangsa pada MyKad, kata aktivis Sarawak

‘Pelik’ papar bangsa pada MyKad, kata aktivis Sarawak

Peter John Jaban menolak cadangan seorang Ahli Parlimen memaparkan status Bumiputera Sarawak pada MyKad.

mykad ic
Aktivis Sabah Johan Ariffin Samad berkata lebih penting mendidik pekerja sektor swasta mengenai kepelbagaian komuniti peribumi Sabah dan Sarawak berbanding menambah label ‘Bumiputera’ pada MyKad.
PETALING JAYA:
Seorang aktivis hak rakyat Sarawak mempersoalkan keperluan memaparkan status Bumiputera pada MyKad rakyat negeri itu, sambil menekankan Malaysia sepatutnya menghapuskan terus semua label berkaitan kaum di kad pengenalan.

Peter John Jaban daripada gerakan hak rakyat Saya Anak Sarawak mengakui memang ada rakyat Sarawak yang kadangkala berdepan pemeriksaan atau soal jawab tidak wajar apabila menggunakan perkhidmatan khas untuk Bumiputera.

Namun, katanya, huruf ‘K’ pada MyKad sudah pun menunjukkan seseorang itu penduduk sah Sarawak.

Beliau turut berkata ‘pelik’ untuk meletakkan label kaum atau agama pada dokumen kerajaan kerana ia bukan amalan umum di negara lain.

Peter John Jaban
Peter John Jaban.

“Ini boleh dianggap satu bentuk diskriminasi,” katanya kepada FMT.

Peter mengulas cadangan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin, yang berkata memaparkan status Bumiputera pada MyKad mungkin dapat mengelakkan kekeliruan berkaitan pelbagai kumpulan etnik peribumi di Sarawak.

Willie berkata masih ada pegawai bank dan pekerja sektor swasta yang tidak mengenali kepelbagaian etnik peribumi di Sarawak, menyebabkan ada individu ditanya atau diminta memberikan dokumen tambahan.

Beliau memberi contoh kes seorang Bumiputera Sarawak ‘dipandang rendah’ kerana pegawai bank tidak memahami bukan semua etnik di negeri itu – termasuk Iban, Penan, Melanau dan kumpulan peribumi lain – beragama Islam.

Johan Ariffin Samad
Johan Ariffin Samad.

Aktivis Sabah, Johan Ariffin Samad, berkata label Bumiputera hanyalah penyelesaian jangka pendek dan lebih penting untuk mendidik pekerja sektor swasta mengenai kepelbagaian komuniti peribumi Sabah dan Sarawak.

Katanya, sebelum bancian 2020, peribumi Sabah dan Sarawak dibenarkan mengisi sendiri etnik mereka dalam borang kerajaan, sebelum mereka dikategorikan ‘Bumiputera’.

“Peribumi Sabah dan Sarawak patut diberikan hak untuk dikategorikan mengikut etnik masing-masing, sama seperti masyarakat Cina dan India. Sabah dan Sarawak juga harus dirujuk, jika ada cadangan untuk mengubah kategori peribumi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.