
Setiausaha Agung, Takiyuddin Hassan, berkata kemenangan Aliakbar Gulasan di kerusi itu membuktikan penerimaan pengundi terhadap calon PN yang diwakili PAS, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk parti berkhidmat di negeri berkenaan.
“Kemenangan ini menzahirkan penerimaan serta keyakinan majoriti rakyat di Karambunai kepada calon PN untuk terus berbakti kepada seluruh rakyat di kawasan ini tanpa mengira apa latar belakang sekalipun, demi masa depan yang lebih baik dan cemerlang,” katanya dalam kenyataan.
Menerusi keputusan tidak rasmi PRN Sabah, PAS mencipta sejarah apabila memenangi kerusi sulung di negeri itu menerusi pesuruhjayanya, yang kali pertama bertanding pilihan raya.
Aliakbar sebelum ini mencipta sejarah selepas PRN 2020 apabila menjadi wakil PAS pertama di Sabah, walaupun ketika itu beliau hanya Adun dilantik oleh kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata PN dan PAS memberi aku janji tidak akan mensia-siakan mandat dan amanah diberikan pengundi Sabah termasuk memberi jaminan akan melaksanakan perkhidmatan terbaik kepada seluruh rakyat.
“Dalam pada itu, PAS juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua jentera pilihan raya di semua DUN yang ditandingi diterajui oleh Pengarah Pilihan Raya PAS Annuar Musa dari mula sehingga ke akhirnya.
“Jutaan terima kasih juga ditujukan kepada semua penyumbang dalam kalangan pimpinan, ahli dan penyokong PAS yang telah memberikan segala bantuan dalam bentuk kewangan, tenaga kerja dari negeri-negeri dan kawasan-kawasan membantu serta sokongan moral sepanjang tempoh pilihan raya ini,” katanya.
PAS meletakkan lima lagi calon di Petagas, Tanjung Batu, Balung, Merotai dan Kunak, namun semuanya dijangka tewas.