Menang di Sabah penanda aras baharu PAS, kata Hadi

Menang di Sabah penanda aras baharu PAS, kata Hadi

Presiden Hadi Awang kata pencapaian PRN penanda aras dalam memperkukuh usaha dakwah, siasah, dan tarbiah.

Presiden Hadi Awang ucap penghargaan kepada jentera PAS Sabah atas pencapaian pada PRN kali ini.
PETALING JAYA:
Pencapaian PAS pada PRN Sabah kali ini penanda aras baharu buat parti itu, terutama dalam memperkukuh usaha dakwah, siasah, tarbiah dan kebajikan, kata Presiden Hadi Awang.

Hadi menyampaikan penghargaan beliau kepada seluruh jentera PAS Sabah, atas komitmen, kesungguhan, dan kualiti kerja sepanjang tempoh PRN, khususnya atas kemenangan di DUN Karambunai.

“Pengorbanan dan kesatuan tenaga inilah yang menjadi kekuatan kepada perjuangan kita,” katanya, lapor Harakah Daily.

Pertandingan 11 penjuru di Karambunai menyaksikan Aliakbar Gulasan yang bertanding atas tiket PN meraih 7,054 undi, mengatasi Warisan (6,689), Gabungan Rakyat Sabah (4,818), dan Barisan Nasional (4,475), lalu menang dengan majoriti 365 undi.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dilapor berkata sentimen parti tempatan tidak memberi pengaruh besar pada pola pengundian keseluruhan, susulan kemenangan Aliakbar.

Aliakbar adalah naib pengerusi PN Sabah. Seorang lagi calon PN, Ronald Kiandee dari Bersatu yang juga pengerusi PN Sabah, tewas di Sugut.

Kemenangan ini disifatkan sebagai bersejarah bagi PAS. Walaupun sudah lama bertapak di Malaysia Timur, parti itu tidak pernah berjaya memenangi sebarang kerusi Parlimen atau DUN di Sabah atau Sarawak sehingga kini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.