GRS tunjuk kekuatan dalam PRN Sabah walau berdepan cabaran awal

GRS tunjuk kekuatan dalam PRN Sabah walau berdepan cabaran awal

Gabungan Sabah itu berjaya mempertahankan kerusi utama dengan majoriti besar untuk membentuk kerajaan negeri dengan sokongan parti lain dan calon bebas.

hajiji noor
Pengerusi GRS Hajiji Noor mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah awal pagi tadi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menunjukkan kekuatan dalam PRN Sabah ke-17 semalam apabila berjaya mempertahankan kerusi utama dengan majoriti besar.

Gabungan diketuai Hajiji Noor itu terpaksa mengatasi beberapa cabaran awal sebelum PRN, khasnya tindakan Jeffrey Kitingan membawa Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) meninggalkan GRS dan dakwaan berkaitan skandal perlombongan Sabah.

Kemunculan Warisan sebagai pencabar dan pertembungan dengan Barisan Nasional (BN) turut mengancam kedudukan gabungan tempatan itu di beberapa kerusi.

PRN kali ini yang pertama bagi GRS sebagai gabungan rasmi, selepas ia bertanding sebagai pakatan tidak rasmi bersama Umno Sabah dan Bersatu Sabah.

Selepas PRU 2022, Hajiji mengetuai pemimpin Bersatu Sabah meninggalkan parti itu untuk menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Hajiji, yang juga pengerusi GRS, dipilih semula Adun Sulaman buat penggal kesembilan selepas menewaskan empat pencabar dari Warisan, BN, Perikatan Nasional dan Parti Impian Sabah.

Pemimpin utama lain seperti Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah, Masidi Manjun (Karanaan), Rubin Balang (Kemabong), Masiung Banah (Kuamut) dan Nizam Abu Bakar Titingan (Apas) turut berjaya mempertahankan kerusi masing-masing untuk satu penggal lagi.

Lebih penting lagi, GRS menang di kerusi utama seperti Tanjung Keramat, Tempasuk, Pantai Dalit, Sugut dan Banggi – yang sebelum ini kerusi tradisi BN atau Warisan.

Parti Bersatu Sabah (PBS) turut menunjukkan prestasi baik apabila Presidennya, Dr Joachim Gunsalam, dipilih semula di Kundasang bersama Ketua Penerangan, Joniston Bangkuai (Kiulu) serta Naib Presiden, Hendrus Anding (Tandek) dan Ruslan Muharam (Lumadan).

Setiausaha Agung PBS, Julita Majungki turut mencatat kemenangan penting dengan mempertahankan kerusi Matunggong menentang Timbalan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Wetrom Bahanda.

Bagaimanapun, Presiden Parti Cinta Sabah, Anifah Aman sekali lagi tewas di Bongawan, apabila dikalahkan calon Warisan, Daud Yusof.

Anifah turut tewas kepada Daud pada 2020.

Presiden Usno, Pandikar Amin Mulia bersama isterinya, Diana Diego @ Yusrina Sufiana tewas di kerusi Pintasan serta Sekong selepas berdepan penolakan terhadap pencalonan mereka.

Namun, GRS tetap mendapat sokongan Adun Pintasan, Fairuz Renddan yang bertanding sebagai calon bebas untuk mempertahankan kerusi itu setelah melepaskan jawatan ketua Pemuda Gagasan Rakyat.

Parti Harapan Rakyat Sabah turut kehilangan kerusi Kukusan kepada bekas wakil rakyatnya, Rina Jainal, yang bertanding sebagai calon bebas dan menyuarakan sokongan kepada Hajiji sebagai ketua menteri.

Pada PRN Sabah 2020, GRS memenangi 18 kerusi melalui Bersatu Sabah (sebelum Adun terbabit keluar parti) dan PBS, dengan masing-masing 11 Adun serta tujuh wakil rakyat.

Gabungan itu kemudian menambah jumlah kerusi melalui satu siri lompat parti, menyaksikan Gagasan Rakyat memiliki 26 Adun sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri bulan lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.