
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Azman Ibrahim berkata tindakan itu diambil selepas tempoh rundingan antara kerajaan negeri dan Felda berkait isu perkongsian keuntungan yang berlarutan sejak 40 tahun lalu berakhir semalam, lapor Berita Harian.
“Penyerahan notis dilakukan serentak hari ini kepada pihak pengurusan 10 ladang FGV di Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun serta Hulu Terengganu.
“Papan tanda notis turun dipasang di kawasan berkenaan yang membabitkan 127 lot tanah,” katanya kepada wartawan ketika kerja pemasangan notis di Pejabat Ladang FGV Setiu, Terengganu.
Azman berkata selepas proses sitaan tindakan kompaun akan dilaksanakan kepada Felda kerana menceroboh tanah kerajaan negeri selain mengemukakan saman sivil menuntut kerugian yang ditanggung sepanjang isu tersebut.
“Selain itu prosedur jenayah akan dilaksanakan kerana Seksyen 425 Kanun Tanah Negara adalah kesalahan jenayah,” katanya yang menambah notis turut dihantar kepada semua Ahli Lembaga Pengarah FGV.
“Tindakan ini adalah permulaan kepada tindakan perundangan yang disebut sebelum ini selepas pihak pengurusan FELDA sering berdolak dalih berhubung isu ini.
“Kerajaan negeri sudah beri tempoh lama untuk proses perbincangan namun tidak bersambut dan setiap ruang perbincangan mempunyai garis akhirnya,” katanya.
Azman pada 11 Nov lalu berkata, Terengganu memberi ‘kata dua’ kepada Felda sehingga 29 Nov berkait isu perkongsian keuntungan atau berdepan tindakan sitaan tanah hampir 15,000 hektar.
Katanya, kerajaan negeri sebelum ini menawarkan 30% daripada keuntungan kasar sejak April 2024, namun Felda masih belum mengemukakan sebarang angka cadangan.
Azman menjelaskan, tuntutan itu tidak membabitkan tanah rancangan peneroka.
Menurut laporan, tanah berkenaan diusahakan Felda sejak 1985 melibatkan kawasan seluas 14,791 hektar, termasuk Ladang FGV Setiu 1 seluas 1,742 hektar.
Tanah itu telah melalui proses tanam semula dan diusahakan tanpa sebarang bayaran premium, cukai tanah atau perkongsian keuntungan kepada kerajaan negeri.
“Beberapa negeri lain termasuk Pahang dan Sabah telah menerima bayaran. Justeru, kita menuntut hak sama rata. Kerajaan negeri hanya menumpukan kepada penyelesaian melalui perkongsian keuntungan tanpa menjejaskan hak peneroka,” katanya.