3 wakil Upko teguh sokong Hajiji sebagai KM, kata sumber

3 wakil Upko teguh sokong Hajiji sebagai KM, kata sumber

Upko menang 3 kerusi iaitu di Kadamaian, Moyog dan Tamparuli.

Tiga wakil Upko menang PRN Sabah iaitu Ewon Benedick, Donald Peter Mojuntin dan Wilfred Madius Tangau.
PETALING JAYA:
Tiga wakil Upko yang menang pada PRN Sabah dikatakan menyokong Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor sebagai ketua menteri, menurut sumber.

Mereka adalah Presiden Upko Ewon Benedick yang menang di DUN Kadamaian, Timbalannya Donald Peter Mojuntin (Moyog) dan Presiden Kehormat Wilfred Madius Tangau (Tamparuli).

“Ketiga-tiganya menyokong teguh Hajiji sebagai ketua menteri,” kata sumber itu kepada FMT.

Setakat ini, masih belum ada parti yang mempunyai majoriti mudah 37 kerusi untuk membentuk kerajaan Sabah.

GRS dijangka memenangi 30 kerusi, kurang tujuh untuk menikmati majoriti mudah.

Warisan pula dijangka menang 21 kerusi manakala Barisan Nasional (BN) sekitar sembilan kerusi.

Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai kerjasama dengan GRS pula secara rasmi meraih satu kerusi iaitu di Melalap.

DUN Sabah mempunyai 73 Adun yang dipilih serta enam Adun lantikan oleh kerajaan negeri.

Baki kerusi pula bakal dikongsi antara Upko, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Perikatan Nasional (PN), serta beberapa calon bebas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.