
Syahruddin Awang Ahmad, Bilcher Bala dan Awang Azman Pawi senada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkelebihan sebagai penyandang namun landskap keseluruhan kekal seimbang dengan saingan daripada pesaing utama, Warisan serta Barisan Nasional (BN).
Pakatan Harapan (PH) yang bertanding 21 kerusi pula dilihat kekal relevan sebagai pemain pelengkap dalam pembentukan blok pasca pilihan raya.
Syahrudin berkata, gabungan pimpinan ketua menteri sementara Hajiji Noor dilihat mempunyai sumber, jentera lebih tersusun dan kedudukan dalam pentadbiran negeri yang bagaimanapun tidak menjamin kemenangan terutama di kerusi marginal.

Katanya, pertembungan pelbagai parti serta kerjasama politik yang tidak menentu meningkatkan kebarangkalian tiada satu gabungan pun memperoleh majoriti mudah 37 kerusi daripada 73 DUN Sabah.
“Ini mungkin memaksa pembentukan kerajaan campuran pasca pilihan raya,” kata penyelidik Borneo Geopolitics & Electoral Studies (GeoPES) itu kepada FMT.
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya pula menyifatkan, PRN kali ini sebagai antara paling terpecah undinya sejak lebih tiga dekad lalu didorong penyertaan 596 calon dan pertandingan sehingga 14 di DUN Tulid.

“Dalam keadaan ini, sangat sukar untuk mana-mana parti mencapai dominasi mutlak. Kemenangan besar satu pihak semakin tidak realistik,” katanya mengulas keyakinan disuarakan pemimpin parti utama.
Sebelum ini, Hajiji yakin gabungan itu mampu memperoleh majoriti mudah 37 daripada 55 DUN ditandingi manakala Presiden Warisan Shafie Apdal pula berkata partinya yang bertanding semua 73 kerusi sedang mencari mandat cukup untuk mentadbir sendiri.
Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin, pula menyuarakan keyakinan kembali memerintah walaupun bertanding 45 DUN, lebih sedikit berbanding jumlah minimum diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Bilcher dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, kelebihan sebenar mana-mana parti lebih bersifat setempat, bergantung kepada faktor calon tempatan, pengaruh komuniti dan isu khusus melibatkan kawasan itu sendiri.

“Fragmentasi (pemecahan) tawaran politik dan kehadiran calon bebas berprofil tempatan mengekang dominasi tunggal di peringkat negeri,” katanya.
Beliau juga menekankan, faktor teknikal pada hari mengundi seperti logistik, pergerakan pengundi luar, keberkesanan jentera mengangkut pengundi serta disiplin ejen parti di pusat mengundi turut memainkan peranan besar menentukan kemenangan di saat akhir.
Dari sudut pengundi atas pagar, semua penganalisis bersetuju faktor terpenting bukan lagi janji politik semata-mata tetapi isu realiti hidup dirasai secara langsung oleh rakyat.
Syahruddin berkata, kajian pasukannya menunjukkan pengundi khususnya anak muda dan pengundi bandar semakin cenderung membuat keputusan berdasarkan keperibadian calon berbanding sentimen parti.
“Mereka mahukan calon boleh dipercayai, mudah ditemui, dan benar-benar memahami masalah rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.
Awang Azman menambah, faktor kestabilan turut menjadi pertimbangan penting pengundi menjelang saat akhir, merujuk beberapa peristiwa menyebabkan ketidakstabilan politik sehingga berisiko menjatuhkan kerajaan.
“Pengundi mahu kerajaan stabil, tidak mudah tumbang dan tidak terlalu banyak drama politik.
“Sentimen ‘Sabah for Sabahans’ masih wujud tetapi pengundi lebih realistik dengan berpendapat autonomi penting tapi siapa boleh siapkan jalan, sekolah dan hospital,” katanya, turut menggariskan kepentingan hubungan antara kerajaan negeri dan persekutuan dalam membentuk pola sokongan.
Sebahagian pengundi, menurut penganalisis, akan memilih gabungan yang mereka rasa lebih mampu membawa peruntukan pembangunan, kesinambungan projek dan kestabilan dasar dari Putrajaya ke Sabah.
Bilcher turut menjelaskan manifesto masih penting, tetapi hanya berkesan jika disertakan dengan pelan pelaksanaan jelas serta ukuran kejayaan yang realistik.
“Manifesto tanpa garis masa dan mekanisme pelaksanaan boleh difahami tidak cukup kuat menarik sokongan pengundi atas pagar,” katanya mengingatkan kempen saat akhir yang beretika dan bebas fitnah lebih berkesan berbanding serangan peribadi atau tohmahan tanpa bukti.
