Singapura tegas terhadap pendakwah asing memecahbelahkan, kata menteri

Singapura tegas terhadap pendakwah asing memecahbelahkan, kata menteri

Pemangku menteri hal ehwal Islam Singapura Faishal Ibrahim berkata kerajaan negara itu sentiasa tapis penceramah agama dengan teliti.

Singapore minister Faishal Ibrahim
Faishal Ibrahim berkata lawatan sesi berkala di sekolah antara langkah membendung radikalisme di kalangan belia, susulan peningkatan kandungan ekstremis dipacu kecerdasan buatan (AI). (Gambar Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital Singapura (MDDI) )
SINGAPURA:
Pemerintah republik itu akan terus bertindak tegas terhadap pendakwah agama dari luar negara yang cuba menimbulkan perpecahan dan memecahbelahkan masyarakat majmuk di negara itu, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Singapura, Faishal Ibrahim.

Dalam perbincangan bersama wartawan Malaysia baru-baru ini, Faishal, yang juga menteri kanan bagi ehwal dalam negeri berkata pemerintah Singapura meneliti dan menapis semua penceramah agama dengan teliti.

Tegasnya, langkah itu bagi memastikan kandungan ceramah mereka tidak bersifat memecahbelahkan masyarakat.

“Kami mempunyai kriteria sendiri kerana ada topik yang sensitif,” katanya.

Beliau menegaskan Singapura tidak bertolak ansur terhadap keganasan atau fahaman ekstremis kerana perkara itu boleh mengganggu keharmonian sosial negara.

Pada 2017, pemerintah Singapura menyekat kemasukan dua pendakwah terkenal iaitu Ismail Menk dari Zimbabwe dan Haslin Baharim dari Malaysia kerana ajaran mereka dianggap bersifat memisahkan masyarakat dan memecahbelahkan.

Selain itu, tidak sejajar dengan prinsip masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura.

Radikalisme belia, isu tudung 

Selain memantau penceramah agama, Faishal berkata kementeriannya turut memberi perhatian kepada usaha membendung fahaman ekstremis di kalangan golongan muda.

Katanya, kementerian menjalankan lawatan ke masjid serta mengadakan sesi di sekolah-sekolah untuk menangani radikalisme belia, terutama dengan peningkatan kandungan ekstremis di internet yang kini semakin mudah disebarkan melalui teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Program kami bukan sahaja mengajar pelajar tentang agama dan nilai murni, tetapi juga bagaimana menolak dan menentang naratif ekstremis dalam talian,” katanya.

Faishal juga ditanya mengenai sama ada pelajar perempuan Muslim serta wanita dalam perkhidmatan beruniform harus dibenarkan memakai tudung.

Pada masa ini, pemerintah Singapura masih mengekalkan dasar larangan pemakaian tudung di sekolah awam dan perkhidmatan beruniform, kecuali jururawat yang diberikan kelonggaran mulai tahun 2021 selepas beberapa siri perbincangan.

“Ini adalah perkara yang terus kami jelaskan kepada masyarakat — mengapa kerajaan berpandangan bahawa keseragaman pakaian dan identiti adalah penting,” katanya.

Namun, beliau mengakui ada segelintir masyarakat Islam di Singapura yang masih berharap dasar larangan pemakaian tudung itu akan dimansuhkan.

“Saya akan terus berbincang dengan pemimpin masyarakat, Perdana Menteri (Lawrence Wong) dan rakan-rakan Kabinet mengenai perkara ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.