Pasport palsu pencipta kandungan dokumen sah, kata menteri

Pasport palsu pencipta kandungan dokumen sah, kata menteri

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata warga Bosnia itu dilaporkan pernah melakukan helah sama di Thailand.

tourist fake passport klia
Dua pencipta kandungan terdiri daripada warga Bosnia dan rakyat China mendakwa pasport mereka palsu ketika di KLIA2.
PETALING JAYA:
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, mengesahkan pasport dua pencipta kandungan asing yang didakwa “palsu” dalam sebuah video tular di KLIA2 sebenarnya dokumen sah.

Beliau berkata, semakan menunjukkan kedua-duanya keluar masuk Malaysia secara sah.

“Kami telah membuat semakan dengan kedutaan mereka,” katanya sambil menambah lelaki itu ialah warga Bosnia, manakala wanita bersamanya merupakan warga China.

“Semakan mendapati mereka memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya ketika menghadiri sebuah acara di Sarawak hari ini.

Semalam, pencipta kandungan dari Bosnia itu dilaporkan memuat naik video bertajuk “My fake passport will pass her test???” yang memaparkan seolah-olah pemeriksaan pasport di KLIA2.

Saifuddin berkata, kaunter itu sebenarnya dikendalikan anggota polis bantuan, bukannya pegawai imigresen.

Menurutnya, pihak berkuasa sedang menyiasat motif pencipta kandungan itu memuat naik video berkenaan.

“Jika tujuan mereka untuk memburukkan imej negara, tindakan akan diambil.

“Ini bukan kali pertama dia memuat naik kandungan sedemikian, kononnya untuk menunjukkan betapa mudahnya memasuki sesebuah negara. Sebelum ini dia pernah lakukannya di Thailand.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.