Negara Asean mesti bersatu haramkan vape, kata menteri kesihatan Singapura

Negara Asean mesti bersatu haramkan vape, kata menteri kesihatan Singapura

Ong Ye Kung berkata vape membawa risiko kesihatan yang jauh mengatasi sebarang dakwaan pengurangan mudarat.

Min Ong
Menteri Kesihatan Singapura Ong Ye Kung berkata negara itu sebahagian besarnya bergantung pada bakatnya sendiri untuk keperluan penjagaan kesihatannya, tetapi kadangkala mengambil  doktor asing, termasuk dari Malaysia. (Gambar Kementerian Kesihatan Singapura)
SINGAPURA:
Menteri Kesihatan Singapura Ong Ye Kung menggesa negara-negara Asean mengikuti langkah negaranya dalam mengharamkan vape, sambil memberi amaran peranti itu menjadi ‘pintu masuk’ berbahaya kepada ketagihan nikotin di kalangan golongan muda.

Ong berkata Brunei, Laos dan Kemboja telah pun melaksanakan larangan tersebut. Malah Thailand, yang membenarkan penggunaan ganja dalam perubatan juga telah mengharamkannya, katanya.

“Malaysia merancang untuk mengharamkannya dalam tempoh setahun.

“Saya berharap Asean, sebagai sebuah rantau, dapat bergerak seiring ke arah ini,” katanya pada sesi dialog bersama wartawan Malaysia di sini.

Pada 25 Sept, rakan sejawat Ong dari Malaysia, Dzulkefly Ahmad, berkata kementeriannya menyasarkan untuk mengharamkan penjualan vape dan rokok elektronik menjelang pertengahan tahun depan.

Menjelaskan pendirian Singapura, Ong berkata negaranya membuat keputusan untuk mengharamkan e-vapouriser ‘sejak hari pertama’ selepas menilai risiko kesihatan yang jauh mengatasi sebarang dakwaan pengurangan mudarat.

“Memang boleh menghalalkan vape, mengenakan cukai dan mendapat hasil, tetapi ia tidak berbaloi berbanding kerosakan terhadap kehidupan anak muda dan masyarakat. Kerosakannya jauh lebih besar.”

Beliau berkata kajian kementeriannya mendapati satu pod vape boleh mengandungi jumlah nikotin bersamaan empat bungkus rokok dan golongan muda selalunya menghabiskan satu pod dalam sehari.

Ong turut berkata tabiat vaping dalam kalangan anak muda sangat berbeza daripada tabiat perokok tradisional.

“Apabila anda merokok, rokok akan habis terbakar dan anda berhenti. Tetapi vape boleh digunakan berterusan. Dan seorang budak boleh terus menghisapnya sehingga seluruh pod habis.”

Beliau juga berkata terdapat risiko bahan lebih berbahaya dimasukkan ke dalam peranti vape.

“Hari ini ia berperisa laici atau durian, esok mungkin dicampur ganja atau kokain.”

Ong mengakui Singapura berdepan cabaran menangani penyeludupan dan penggunaan vape secara haram, tetapi menegaskan bahawa masalah itu ‘akan menjadi jauh lebih besar’ jika vaping dibenarkan.

Pengambilan doktor dan jururawat Malaysia

Dalam pada itu, Ong berkata Singapura sebahagiannya bergantung kepada bakat tempatan untuk memenuhi keperluan kesihatannya, namun kadangkala mengambil doktor dari negara lain, termasuk UK, India dan Malaysia.

Mengulas sesi temu duga langsung yang dijalankan kerajaan Singapura di Kuala Lumpur untuk merekrut doktor Malaysia berpengalaman awal tahun ini, Ong berkata:

“Kira-kira 90% doktor di Singapura ialah rakyat Singapura.”

Beliau turut berkata kekurangan jururawat merupakan isu global, yang menjadi semakin ketara ketika puncak pandemik Covid-19 sehingga Singapura kehilangan hampir 14% tenaga kerja jururawat asingnya.

“Kita juga menghasilkan jururawat sendiri. Majoritinya rakyat Singapura atau pemastautin tetap. Namun kerana populasi menua, jumlah jururawat tidak pernah mencukupi dan ketika Covid hal itu jelas kelihatan.”

Katanya, Singapura kini memberi tumpuan kepada pengambilan serta latihan jururawat dari pelbagai negara, menyokong mereka dengan biasiswa yang membolehkan mereka menjadi tenaga pengajar apabila pulang ke negara asal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.