
Pengerusi Kumpulan Ibu Bapa Bertindak untuk Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Abdul Rahim, berkata walaupun pengesan logam boleh bertindak sebagai pencegah, ia lebih sesuai digunakan di sekolah mempunyai sejarah insiden serius.

“Langkah keselamatan perlu berasaskan data, penilaian risiko dan konteks khusus sekolah, bukannya dilaksanakan sebagai mandat sejagat,” katanya kepada FMT.
Tegasnya, alat pengesan logam hanya menangani “titik akhir” masalah, sedangkan keganasan di sekolah tidak bermula di pintu pagar.
“Ia berpunca daripada isu buli tidak diselesaikan, tekanan emosi, kawalan diri yang lemah dan tiada intervensi awal,” katanya sambil menambah perkhidmatan kaunseling, pengawasan serta sistem pelaporan perlu diperkukuhkan untuk meningkatkan keselamatan secara berkesan.
Beliau berkata demikian selepas kerajaan Johor dilapor mempertimbangkan pemasangan alat pengesan logam di semua sekolah negeri itu dan akan dibincangkan lebih lanjut tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin dipetik Bernama berkata, alat pengesan logam sudah dipasang di 372 pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi memperkukuh integriti, keselamatan dan kelancaran proses peperiksaan.
Ahli akademik, P Gopala Krishnan yang menyokong cadangan pemasangan alat pengesan logam di semua sekolah seluruh negara menyifatkannya “keperluan untuk melindungi setiap pelajar dan pendidik”.
“Walaupun ada pakar mengingatkan usaha ini perlu disertakan intervensi kesihatan mental, nilai segera pengesan senjata tajam tidak dapat dipertikaikan dalam memastikan keselamatan pelajar.”
Katanya, alat itu bukan sekadar mengesan senjata, ia juga bertindak sebagai pencegah kerana apabila pelajar tahu senjata tidak boleh melepasi kawalan keselamatan, dorongan membawa objek berbahaya akan hilang.

Beliau berkata demikian selepas seorang pelajar 16 tahun maut ditikam juniornya di sebuah sekolah di Bandar Utama bulan lalu. Beberapa sekolah di kawasan itu mula menggunakan alat pengesan logam mudah alih, dengan guru memeriksa pelajar di pintu pagar.
Gopala berkata, ibu bapa, pendidik dan pelajar lebih yakin apabila langkah keselamatan sewajarnya dilaksanakan.
“Keselamatan mesti diutamakan berbanding keselesaan atau kos. Setiap anak berhak belajar dalam persekitaran tanpa rasa takut.
“Pengesan logam ialah perisai mudah, berkesan dan tidak boleh dikompromi. Tanpanya akan mengundang tragedi.”