
Ketua Polis Cameron Highlands Azri Ramli berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian yang berlaku di Apartmen Puncak Arabella kira-kira 8.30 malam.
“Kejadian tanah runtuh itu menyebabkan laluan ke kawasan apartmen terputus hubungan, sekali gus menjejaskan pergerakan keluar masuk hampir 700 penduduk yang menetap di situ,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Beliau berkata, beberapa agensi termasuk polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan tinjauan keselamatan dan tindakan awal.
Dalam kenyataan berasingan, Azri berkata, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Katanya, Jabatan Meteorologi dan Geosains telah dihubungi bagi bantuan penilaian segera berkenaan status tanah.
“Pasukan Jabatan Kerja Raya dan SMR Selenggar-Pahang Sdn Bhd turut telah bergerak ke lokasi untuk melaksanakan tindakan pembersihan jalan dan juga langkah berjaga-jaga sementara untuk perlindungan cerun terlebih dahulu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat ke Pusat Kawalan Daerah IPD Cameron Highlands di talian 05-4915999 atau mana-mana balai polis serta IPD berhampiran.