
Fahmi berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah merakamkan penghargaan kepada Tengku Zafrul pada mesyuarat Kabinet hari ini atas perkhidmatan cemerlang serta kejayaannya menarik pelaburan, memudahkan rundingan perdagangan dan pelbagai lagi.
“Perdana menteri berkata tempoh kedua Tengku Zafrul sebagai Senator akan berakhir awal minggu depan, namun beliau masih akan membantu beliau dan kerajaan pada masa hadapan, mungkin dalam peranan baharu.
“Bagaimanapun, peranan baharu itu tidak dinyatakan. Kita tunggu apabila tiba waktunya,” katanya pada sidang media mingguan pasca mesyuarat Kabinet.
Pada 13 Nov lalu, Tengku Zafrul menawarkan diri untuk membantu penggantinya selepas tempoh senatornya tamat, sambil memaklumkan beliau telah menyatakan kesediaannya kepada Anwar dan sedang menunggu keputusan berhubung kepimpinan masa depan kementerian itu.
Tengku Zafrul mula dilantik sebagai senator pada Disember 2020 dan tempoh tersebut diperbaharui tahun lalu. Ini bermakna beliau tidak lagi boleh kekal sebagai anggota Kabinet kecuali jika dipilih sebagai Ahli Parlimen dalam pilihan raya akan datang.