
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Armizan Mohd Ali, berkata gabungan itu akan mengenakan had dua penggal untuk jawatan ketua menteri bagi semua Adun sekiranya mereka membentuk kerajaan negeri yang akan datang.
Beliau berkata ini adalah sebahagian daripada usaha untuk mengelakkan penumpuan kuasa pada satu individu, serta amalan global dalam demokrasi matang.
Sebaliknya, beliau berkata Warisan telah menunjukkan kurangnya komitmen terhadap reformasi sedemikian apabila menghapuskan had dua penggal bagi jawatan Yang di-Pertua Negeri Sabah semasa mereka mentadbir negeri.
“Soalannya, mengapa ia diperlukan? Bagaimana pindaan sedemikian menyumbang kepada pembangunan Sabah? Adakah ia untuk kepentingan individu atau rakyat?
“Shafie perlu menjelaskan mengapa kerajaan negeri Warisan tergesa-gesa untuk menghapuskan had penggal Yang di-Pertua Negeri,” katanya dalam satu video di Facebook.
Ahli Parlimen Papar itu turut menyatakan beberapa parti pernah mendakwa bahawa penghapusan had penggal Yang di-Pertua Negeri adalah ‘tanda terima kasih’ kepada Yang di-Pertua Negeri terdahulu, Juhar Mahiruddin, kerana membenarkan Shafie mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 2018.
Shafie mengangkat sumpah jawatan sebagai ketua menteri di hadapan Juhar pada 12 Mei 2018, dua hari selepas pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah ketika itu, Musa Aman, mengangkat sumpah.
Ia berlaku selepas Upko menarik diri daripada BN Sabah dan menyokong Shafie.
Kejadian berkenaan mencetuskan krisis perlembagaan, kerana menurut perlembagaan negeri, Musa perlu meletak jawatan sebelum seseorang lain boleh menggantikannya.
Perlembagaan menyatakan bahawa Yang di-Pertua Negeri tidak mempunyai kuasa untuk menyingkirkan seorang ketua menteri.
“Inilah asas spekulasi bahawa penghapusan had penggal adalah sebagai ‘terima kasih’ kepada Juhar. Sama ada benar atau tidak, hanya Shafie yang tahu asas dan keperluan pindaan tergesa-gesa itu ke atas perlembagaan negeri,” kata Armizan.
Beliau juga meragui sama ada Warisan akan mengenakan had penggal bagi jawatan ketua menteri, berikutan tindakan mereka terhadap jawatan Yang di-Pertua Negeri sebelum ini.
GRS dan BN masing-masing telah berjanji untuk memperkenalkan had dua penggal bagi jawatan ketua menteri sekiranya mereka membentuk kerajaan negeri Sabah yang akan datang.
Kedua-dua gabungan itu bersaing dalam PRN namun mempunyai pakatan berasingan dengan Pakatan Harapan (PH) manakala Warisan bertanding secara solo.