
Peguam Tei, Zaid Malek, mendakwa pegawai SPRM memasuki rumah ahli perniagaan itu di Puchong secara paksa sebelum menahan dan membawanya keluar dalam keadaan bergari. Tei dibawa pulang ke rumah beberapa minit kemudian.
Tetapi, Malaysiakini memetik peguam Mahajoth Singh yang mewakili Tei sebagai berkata, agensi antirasuah itu menggunakan waran untuk menyerbu rumah anak guamnya.
Zaid dalam kenyataan berkata, pegawai SPRM dan polis ke rumah Tei, tetapi mereka menafikan permintaannya untuk menemui anak guamnya.
Pengarah Lawyers for Liberty itu berkata, tindakan berkenaan melanggar hak Perlembagaan Tei untuk mendapatkan peguam.
“Kemudian, mereka membawa Tei keluar dengan tangan bergari. Dia dikelilingi pegawai bersenjata, bertopeng balaclava, seolah-olah mereka menahan pengganas.
“Pegawai enggan mengenal pasti diri mereka atau memberitahu akan membawa Albert ke mana.”
FMT telah menghubungi SPRM untuk mengulas.
Tei dan seorang wanita bernama Sofia Rini Buyong dipanggil untuk memberi keterangan pada Isnin bagi membantu siasatan membabitkan Shamsul Iskandar Akin, bekas setiausaha politik kanan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Ahli perniagaan yang menjadi tumpuan skandal perlombongan di Sabah itu, sedang dibicarakan atas dua pertuduhan memberi rasuah.
Dalam satu video baru-baru ini, beliau dilihat bercakap dengan seorang wanita didakwa Sofia, yang mendakwa dirinya proksi kepada Shamsul.
Dalam video itu, wanita terbabit mendakwa Anwar memberi kuasa kepada Tei untuk merakam perbualannya dengan beberapa ahli politik Sabah, termasuk menteri negeri dan Adun, berhubung lesen perlombongan mineral di negeri Borneo itu.
Sofia menafikan dirinya proksi kepada Shamsul serta menyifatkan dakwaan itu ‘palsu dan tohmahan’.
Awal minggu ini, Tei mendakwa beliau membelanjakan RM629,000 untuk Shamsul, termasuk kerja pengubahsuaian beberapa hartanah dikaitkan dengannya, selain cerut premium dan sut tempahan khas, kononnya atas jaminan beliau boleh mendapatkan kembali dana yang disalurkan kepada ahli politik Sabah.
Beliau juga berkongsi tangkap layar perbualan WhatsApp yang kononnya menunjukkan Shamsul meminta mata wang asing daripadanya sebelum ke luar negara.
Dakwaan Tei muncul tidak lama selepas Shamsul meletak jawatan sebagai setiausaha politik Anwar, dengan Shamsul menyifatkan cubaan menggunakan kontroversi itu untuk mencemarkan reputasinya dan kerajaan.