
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, berkata tuntutan pertama bersifat dalaman iaitu kelemahan pengurusan kematian pelajar tingkatan satu Zara Qairina Mahathir.
Untuk rekod, inkues menentukan punca dan sebab kematian Zara Qairina sedang berjalan yang diadakan susulan pelbagai spekulasi serta perhatian umum terhadap kes terbabit.
Saifuddin yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkata contoh bersifat luaran pula adalah ‘masalah tiga beradik’ iaitu gangguan bekalan air, elektrik dan jalan raya berlubang selain setinggan seperti di Kampung Sembulan, Kota Kinabalu
“Tuntutan kedua ialah mereka mahu Sabah betul-betul dibangunkan dengan jujur dan makmur.
“Sebab itu PN menawarkan sesuatu yang segar untuk rakyat Sabah, praktikal dan kami laksanakan,” katanya dalam tulisan Merentas Ruang diterbitkan di Sinar Harian.
Saifuddin berkata PN dalam manifestonya antaranya menawarkan mengembalikan hak 40% hasil negeri kepada Sabah, RM3 bilion untuk selesai masalah air, elektrik dan jalan dan RM1 bilion bagi menangani masalah perumahan.
Menyediakan RM350 juta untuk bantuan pendidikan rendah, menengah dan pengajian tinggi, RM400 juta bantuan perniagaan belia dan wanita dan sedia 80,000 pekerjaan baru.
“Manifesto PN menyentuh semua golongan. Ia menunjukkan kami bersedia dan serius menjadi kerajaan negeri,” katanya yang turut menyatakan keazaman parti itu menambah kek ekonomi Sabah.
PN meletakkan 42 calon PRN Sabah yang membabitkan 1.78 juta pengundi yang layak memilih di 73 DUN.