
Sumber SPRM memaklumkan wanita dikenali Sofia Rini Buyong itu hadir ke ibu pejabat agensi antirasuah terbabit bagi membantu siasatan tohmahan terhadap bekas setiausaha politik kanan perdana menteri, Shamsul Iskandar Akin.
“Sehingga 8 malam tadi, proses mengambil keterangannya masih belum selesai,” katanya.
Menurutnya, Shamsul pula akan dirakam keterangannya esok kerana masih berada di Sabah hari ini.
“Tei pula memaklumkan mempunyai masalah tertentu yang tidak dapat dielakkan dan akan hadir ke bagi dirakam keterangan pada Isnin ini,” katanya.
Menurut sumber itu lagi, buat masa ini, hanya tiga individu berkenaan dipanggil bagi dirakam keterangan dan SPRM akan melihat keperluan untuk memanggil saksi-saksi lain berdasarkan keperluan serta hasil siasatan.
“Jadi, mana-mana pihak yang dipanggil SPRM selepas ini perlu segera datang bagi membantu siasatan terutama apabila ia melibatkan kes serius seperti ini,” katanya.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Zainul Darus Ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.
Selasa lalu, tular satu video menunjukkan seorang wanita yang dikatakan sebagai proksi kepada Shamsul.
Namun wanita itu menerusi kenyataan semalam menafikannya dan menyifatkan dakwaan itu sebagai ‘palsu dan tohmahan’.
Shamsul meletak jawatan sebagai setiausaha politik kanan kepada perdana menteri dengan mendakwa wujud percubaan menyerangnya dengan perkara boleh merosakkan imej kerajaan Madani.