Perjanjian AS bolehkan Malaysia akses teknologi nuklear negara lain

Perjanjian AS bolehkan Malaysia akses teknologi nuklear negara lain

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Fadillah Yusof berkata 'Perjanjian 123' beri tumpuan kepada penggunaan tenaga nuklear untuk tujuan aman.

Fadillah Yusof
Fadillah Yusof berkata kerajaan masih dalam proses mengenal pasti lokasi sesuai untuk loji janakuasa nuklear pertama negara. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Malaysia akan dapat mengakses teknologi dan reka bentuk loji janakuasa nuklear dari negara lain melalui pemeteraian perjanjian perdagangan nuklear awam dengan Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Fadillah Yusof.

Menurutnya, Malaysia sedang meneliti keperluan menandatangani Perjanjian Nuklear Awam yang dikenali sebagai ‘Perjanjian 123’, yang menetapkan syarat kepada negara ingin mengimport teknologi nuklear dari AS, termasuk jaminan bahawa teknologi itu hanya akan digunakan untuk aman.

“Amerika Syarikat merupakan pemegang utama hak harta intelek (IP) dalam teknologi janakuasa nuklear dan kitaran bahan api nuklear sejak reaktor nuklear pertama dibangunkan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau menjawab soalan Mumtaz Nawi (PN-Tumpat) yang meminta penjelasan mengenai perjanjian nuklear awam itu dan sebab Malaysia memilih untuk menjalin kerjasama dengan AS berbanding negara lain.

Fadillah berkata melalui perjanjian itu, Malaysia juga berpeluang mendapatkan akses kepada reka bentuk loji dan teknologi dari negara lain seperti Jepun, Perancis dan Korea Selatan, yang kebanyakannya berasaskan IP milik AS.

Fadillah turut bahawa beberapa negara Asean seperti Indonesia, Filipina dan Singapura telah menandatangani perjanjian serupa dengan AS.

Katanya, walaupun Malaysia berurusan dengan pembekal dari negara lain, kerajaan AS masih mempunyai hak untuk mengenakan syarat atau mengeluarkan lesen eksport sekiranya teknologi tersebut menggunakan IP mereka.

Menjawab lokasi loji janakuasa nuklear pertama negara, Fadillah yang juga timbalan perdana menteri berkata kerajaan masih dalam proses mengenal pasti kawasan sesuai.

Malaysia dan AS menandatangani memorandum persefahaman (MoU), Julai lalu mengenai kerjasama strategik dalam nuklear awam.

Awal bulan ini, Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D Kagan, berkata Malaysia akan mendapat manfaat besar melalui kerjasama rasmi dengan Washington dalam teknologi nuklear.

Menurut beliau, perjanjian itu membolehkan kerjasama lebih luas dengan pengeksport teknologi lain yang mematuhi standard sama. Katanya, tanpa perjanjian itu, Malaysia hanya akan terhad kepada ‘satu jenis teknologi’ sahaja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.