
Beliau berkata, tindakan Shamsul meletak jawatan itu suatu perkara yang tidak pernah berlaku dalam mana-mana pentadbiran sebelum ini.
“Beliau terus meletak jawatan dan meminta siasatan dijalankan oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Mana ada dulu macam itu? Ini ada tuduhan terus berhenti dan panggil SPRM siasat. Barulah kita ada integriti.
“Dulu, kalau perdana menteri disiasat, menantu lari ke luar negara. Nak cakap soal integriti, integriti apa itu?” kata Anwar ketika sesi dialog awam pada program PMX Sayang Sabah Bersama Anak Muda Inanam hari ini.
Perdana menteri berkata, beliau sentiasa menitip pesanan kepada semua petugasnya untuk mengambil tanggungjawab sekiranya didapati terlibat dalam sebarang salah laku yang mencemarkan integriti.
“Saya pesan kepada staf saya, jika didapati bersalah, kamu perlu menanggung padahnya, siasatan menyeluruh, bawa ke mahkamah, baru betul kita jaga negara ini,” kata Anwar.
Beliau turut menegaskan, untuk memastikan Malaysia mencapai status negara berjaya, asasnya perlu bermula dengan tatakelola pemerintahan yang baik.
Pada Selasa, Shamsul mengumumkan peletakan jawatannya sebagai setiausaha politik kanan perdana menteri berikutan terdapat percubaan menyerang beliau dengan perkara yang boleh merosakkan imej kerajaan Madani.