
Perubahan kepimpinan dan ketegangan yang memuncak menimbulkan satu persoalan tidak asing: ke mana hala tuju Asean selepas ini?
Penambahbaikan strategik
Asean menempa beberapa kejayaan diplomatik dan ekonomi utama bawah kepimpinan Malaysia, dengan Timbalan Menteri Luar Vietnam, Dang Hoang Giang, memberitahu FMT baru-baru ini 2025 menyaksikan ‘lonjakan kukuh dalam pertumbuhan ekonomi dan inovasi’ di seluruh rantau ini.
Sepanjang tahun lalu, blok itu memajukan rundingan mengenai Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital Asean (Defa), melancarkan Pasukan Petugas Geoekonomi Asean, memperkenalkan Visi Komuniti Asean 2045, dan mula membangunkan strategi jangka panjang yang lebih bersepadu.
“Rangka kerja baharu sedang terbentuk secara berperingkat,” kata Dang merujuk kepada Defa, Grid Tenaga Asean, dan Pelan Induk Digital Asean.
“Inilah asas kepada komuniti digital yang dipacu oleh sains, teknologi dan inovasi.”
Satu pencapaian utama adalah Sidang Kemuncak Asean–Majlis Kerjasama Teluk (GCC)–China yang julung kali diadakan.
Bercakap di Forum Pandangan Asean mengenai Indo-Pasifik (AOIP) awal bulan ini, Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (Isis) Malaysia, Faiz Abdullah, berkata penglibatan China dalam Sidang Kemuncak Asean–GCC–China menjadikan perkongsian lebih kukuh dan mendalam.
“Kemajuan teknologi dan infrastruktur kewangan China melengkapi sumber besar yang dimiliki GCC,” katanya, memaklumkan keupayaan Asean menghimpunkan pelbagai pihak menunjukkan kedudukannya yang penting di tengah-tengah ketegangan geopolitik.
Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edward Kagan, turut menegaskan kepentingan strategik Asia Tenggara, menyatakan dalam wawancara FMT negaranya sedar ‘dalam sejarah abad ke-21 aspek paling penting adalah peristiwa di Indo-Pasifik’.
Dengan kuasa besar semakin mempengaruhi masa depan rantau ini, Asean tampil ke hadapan untuk kekal sebagai pemimpin, menghimpunkan rakan-rakan bagi mengejar kepentingan bersama.
Dalam Forum AOIP bulan ini, Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan Asean-Malaysia, Zanariah Zainal Abidin, menekankan Indo-Pasifik bukan medan pertempuran untuk dimenangi.
“Ia adalah rantau di mana keterangkuman ialah kekuatan, kemampanan ialah strategi, dan kepusatan ialah tanggungjawab.
“Kekuatan Asean terletak pada dialog, keupayaan merapatkan jurang, dan komitmen untuk memastikan Indo-Pasifik kekal terbuka, inklusif dan bekerjasama,” katanya.
Urusan yang belum selesai
Walaupun dengan pencapaian ini, cabaran terbesar Asean kini terletak pada pelaksanaannya. Rangka kerja seperti Pasukan Petugas Geoekonomi Asean dan strategi industri masih banyak bersifat konsep.
Felo Kanan ISEAS–Yusof Ishak Institute, Joanne Lin, baru-baru ini menegaskan tindakan susulan yang lebih kukuh diperlukan bagi mengoperasikan rangka kerja tersebut melalui pelan sektoral, mekanisme pembiayaan dan penglibatan swasta.
Keperluan ini semakin mendesak memandangkan Asean berada antara ekosistem teknologi global yang bersaing dan kebangkitan nasionalisme ekonomi.
Bercakap di Forum Media Asean ke-9 pada 6 Nov, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, berkata Asean berpotensi menjadi ‘juara teknologi pertengahan’, iaitu hab teknologi yang dipercayai, berkecuali dan diterima semua pihak.
“Selagi Asean khususnya Malaysia, Singapura dan Vietnam – membina reputasi sebagai sumber semikonduktor yang boleh dipercayai, kita dapat menghadapi ketegangan geopolitik,” katanya.
Jurang pembangunan dalaman kekal sebagai kebimbangan berterusan, terutama selepas Timor-Leste menjadi anggota ke-11.
“Jika kita tidak bertindak, Asean boleh berpecah kepada tiga peringkat kekayaan,” kata diplomat veteran Ilango Karuppannan dalam temu bual FMT baru-baru ini.
“Kita tidak mahu perpecahan seperti ini menggugat perpaduan Asean.”
Sementara itu, pengenduran ketegangan antara Thailand dan Kemboja kekal rapuh, dan pendekatan Asean terhadap pengaman masih belum berkembang menjadi rangka kerja institusi yang kukuh.
Dalam kolum baru-baru ini di FMT, Pengarah Institut Pengantarabangsaan dan Kajian Asean Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Phar Kim Beng, berkata rundingan dan konsensus kini lebih penting daripada sebelumnya bagi rantau ini.
“Apa diperlukan ialah keazaman politik untuk mengaktifkan mekanisme sedia ada dan menyelarasnya dengan berkesan di lapangan,” katanya.
Kepimpinan Filipina
Filipina mengambil alih kepengerusian Asean tahun depan dengan tema ‘Membentuk Masa Depan Bersama’, dan dengan kelembapan ekonomi global serta ketegangan geopolitik yang berlarutan, 2026 mungkin lebih mencabar berbanding 2025.
Faiz memberitahu Forum AOIP, kepentingan Asia Tenggara kini sangat berkait rapat dengan persekitaran luar yang kompleks dan semakin sukar diramal.
“Garis antara geopolitik dan geoekonomi kini kabur dan bergerak hampir seiring,” katanya, menegaskan kerjasama antarabangsa amat penting untuk menghadapi ketidaktentuan dan perubahan.
Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Maria-Theresa Lazaro, memberitahu FMT walaupun inovasi dialu-alukan, kesinambungan adalah kunci untuk terus maju.
Lazaro berkata, keutamaan Manila tertumpu kepada tiga tonggak Komuniti Asean. Beliau juga menekankan Filipina tidak akan memulakan sesuatu yang sedia ada sebaliknya berhasrat ‘membangunkan apa yang telah dilakukan dan dicapai’.
Antara keutamaannya adalah mempercepatkan rundingan Kod Tatakelakuan Laut China Selatan, tindakan iklim, dan meneruskan usaha mengenai Myanmar – isu berlarutan yang terus mencabar model konsensus Asean.
Permulaan baharu
Momentum Asean ketika ini mencerminkan usaha berterusan selama bertahun-tahun, dengan kepengerusian Malaysia 2025 menekankan keperluan menangani tekanan strategik yang meningkat dan ekonomi global yang suram.
Keupayaan Asean untuk bertindak dengan jelas akan diuji lebih hebat pada 2026.
Cabaran kini bukan lagi menentukan kepentingan Asean, tetapi menunaikan janji rangka kerja, perkongsian dan visi berpaksikan rakyat.
Malaysia bersama negara anggota Asean telah mengukuhkan asasnya. Kini, rantau ini perlu menentukan apa yang harus dibina di atasnya.