Calon PKR Sabah ‘jauhi’ pemimpin pusat, kata sumber parti

Calon PKR Sabah ‘jauhi’ pemimpin pusat, kata sumber parti

Sumber PKR dedah wujud ketegangan antara kepimpinan pusat dan bahagian di Sabah berhubung sejauh mana penglibatan kepimpinan pusat dalam kempen.

Anwar Ibrahim Hajiji noor
Semakin ramai rakyat Sabah menyedari pentingnya hubungan baik antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, kata seorang pemimpin bahagian PKR di negeri itu. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU:
Beberapa pemimpin PKR mendakwa calon-calon parti itu pada PRN Sabah dilihat kurang berminat mendapatkan bantuan daripada kepimpinan pusat, yang dilihat semakin ketara apabila kempen semakin memuncak.

Seorang pemimpin pusat PKR yang enggan dinamakan, berkata keadaan itu didorong oleh sentimen “Sabah untuk orang Sabah” yang kuat dan sering digunakan dalam politik Sabah menjelang pengundian, Sabtu ini.

Menurutnya, meskipun kepimpinan pusat benar-benar mahu membantu kempen di Sabah, bantuan ditawarkan kurang dimanfaatkan sepenuhnya.

“Kami mahu membantu sebaik mungkin tetapi calon-calon tidak begitu berminat. Seolah-olah mereka tidak mahu dilihat bersama pemimpin dari Semenanjung, terutamanya ketika bertemu pengundi,” katanya kepada FMT.

“Kami bukan sahaja mahu membantu dari segi kewangan, tetapi juga dari segi tenaga kerja dan idea. Setakat ini, mereka lebih banyak minta dana sahaja.”

Katanya, kepimpinan pusat sebenarnya berharap dapat menyumbang lebih daripada sekadar bantuan kewangan, namun mereka menghormati autonomi kepimpinan tempatan dan mahu mengekalkan hubungan yang baik dengan pemimpin Sabah.

“Kami hormati autonomi mereka dan mahukan hubungan yang membina,” katanya.

Namun, seorang pemimpin bahagian PKR di Sabah yang juga enggan dinamakan, berkata pemimpin Semenanjung perlu lebih memahami sentimen dan realiti tempatan.

Katanya, kecenderungan calon tempatan untuk bergerak secara berdikari bukan sahaja kerana kehendak pengundi, tetapi juga disebabkan masalah sikap.

“Mereka perlu fahami keadaan sebenar di lapangan. Bantuan dialu-alukan, tetapi mesti ikut pendekatan kami.

“Ada cara mereka yang tidak sesuai dengan situasi di sini. Kami lebih suka mereka bantu di peringkat pengurusan,” katanya.

“Tekanan daripada pengundi supaya tidak ada campur tangan dari Semenanjung memang ada, tetapi sebab utama ialah sikap mereka yang terlalu ‘bossy’ (mengawal sepenuhnya).”

Mengenai sentimen ‘Sabah untuk orang Sabah”’ pemimpin bahagian itu berkata pengaruhnya sering diperbesarkan dan hanya agak kuat di media sosial pada peringkat awal.

Namun katanya keadaan sebaliknya di lapangan kerana semakin ramai rakyat Sabah sedar pentingnya hubungan baik antara kerajaan negeri dan persekutuan.

Beliau berkata PKR kini semakin dikenali sebagai parti nasional yang mempunyai kepimpinan tempatan yang kuat di Sabah dan pengundi mula menerima hakikat bahawa PKR di Sabah dipimpin oleh orang Sabah sendiri.

“Jadi isu itu sebenarnya tidak besar. Malah, penolakan keras terhadap parti nasional oleh sesetengah parti tempatan membuatkan sebahagian rakyat rasa tidak selesa, kerana ia seolah-olah menghukum pemimpin kelahiran Sabah hanya kerana mereka berada dalam parti nasional,” katanya.

Mengenai bentuk bantuan diharapkan calon Sabah daripada kepimpinan pusat, katanya bantuan perlu menyeluruh tetapi sensitif dengan keadaan tempatan.

“Mereka perlukan semua bantuan yang ada, tetapi jangan sampai mengganggu sentimen tempatan atau nampak seperti terlalu mengarah,” katanya.

Beliau juga berkata pengundi tidak menolak kehadiran pemimpin pusat ke Sabah, tetapi kecewa dengan sikap jentera parti dari Semenanjung ketika lawatan berprofil tinggi.

“Bila pemimpin seperti Perdana Menteri Anwar Ibrahim datang, jentera parti dari Semenanjung janganlah mengerumuni beliau sampai orang Sabah khususnya di kampung tidak dapat bersalam atau bertemu.”

“Peluang berjumpa pemimpin nombor satu negara bukan selalu ada. Tetapi dalam lawatan seperti ini, orang dari Malaya (Semenanjung) sering menguasai keadaan, dan ini menghalang orang kampung daripada mendekati beliau,” katanya.

PKR mengumumkan 13 calon untuk PRN Sabah yang mewakili Pakatan Harapan (PH), tetapi calon Silam, Abd Halim Sidek Gulam Hassan, telah menarik diri daripada bertanding.

Sebanyak 596 calon, termasuk 74 calon bebas, bertanding merebut 73 kerusi yang dipertandingkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.