Suku ketiga 2025, untung bersih Petronas Dagangan susut kepada RM281.25 juta

Suku ketiga 2025, untung bersih Petronas Dagangan susut kepada RM281.25 juta

Pada tempoh sama tahun lepas, untung bersih diperoleh RM335.13 juta.

diesel
Petronas Dagangan jangka ekonomi domestik kekal berdaya tahan tahun ini, didorong oleh inisiatif BUDI95 dan peningkatan jumlah kemasukan pelancong menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
KUALA LUMPUR:
Petronas Dagangan Bhd meraih keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM281.25 juta pada suku ketiga berakhir pada 30 Sept 2025 berbanding RM335.13 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Perolehan bagi suku tahun yang dikaji menyusut kepada RM9.53 bilion berbanding RM9.73 bilion sebelumnya.

“Perolehan kumpulan bagi suku berkenaan menyusut sebanyak RM194.6 juta atau 2% terutamanya berikutan penurunan purata harga jualan sebanyak 6% meskipun terdapat peningkatan 4% jumlah jualan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Mengenai prospek, syarikat berkata, ekonomi domestik dijangka kekal berdaya tahan tahun ini, disokong oleh penggunaan swasta yang kukuh, didorong oleh inisiatif BUDI95 dan peningkatan jumlah kemasukan pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Inflasi diunjurkan kekal sederhana yang menawarkan persekitaran makroekonomi stabil,” katanya.

Menurut Petronas Dagangan, persekitaran luaran bagaimanapun terus menyebabkan cabaran di tengah-tengah ketidakpastian pasaran global yang berterusan dan jangkaan harga minyak yang lebih rendah.

Sementara itu, dalam makluman berasingan, syarikat mengisytiharkan dividen interim sebanyak 24 sen sesaham biasa bagi suku tahun berakhir 30 Sept 2025.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.