Shamsul buat laporan polis terhadap Albert Tei

Shamsul buat laporan polis terhadap Albert Tei

Bekas setiausaha politik kanan perdana menteri itu menegaskan dakwaan ahli perniagaan berkenaan adalah ‘konspirasi jahat’ untuk memfitnah imej Anwar Ibrahim.

Shamsul Iskandar
Shamsul Iskandar Akin membuat laporan polis terhadap ahli perniagaan Albert Tei di Sandakan, hari ini.
PETALING JAYA:
Shamsul Iskandar Akin, yang semalam meletakkan jawatan sebagai setiausaha politik kanan perdana menteri membuat laporan polis terhadap seorang ahli perniagaan yang dikaitkan dengan skandal perlombongan di Sabah.

Shamsul berkata beliau membuat laporan terhadap Albert Tei di Sandakan selepas ahli perniagaan itu menuduh beliau mempunyai kaitan dengan Anwar Ibrahim.

Dalam hantaran di Facebook, ketua PKR Melaka itu menyifatkan tuduhan itu sebagai ‘konspirasi jahat’ bertujuan menjejaskan imej Perdana Menteri.

Beliau turut mendakwa tuduhan itu adalah satu usaha terancang untuk menumbangkan kerajaan melalui cara yang tidak demokratik.

“Saya tidak akan membenarkan sesiapa menggunakan nama saya untuk menumbangkan kerajaan atau memfitnah nama baik perdana menteri” katanya.

Beliau juga yakin polis akan memulakan siasatan segera dan sedia memberi kerjasama bagi siasatan oleh mana-mana badan penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Shamsul meletak jawatan sebagai setiausaha politik kanan kepada perdana menteri dengan mendakwa wujud percubaan menyerangnya dengan perkara boleh merosakkan imej kerajaan Madani.

Tidak lama selepas itu, Malaysiakini melaporkan Tei mendakwa beliau telah membelanjakan sebanyak RM629,000 ke atas Shamsul.

Ia termasuk bagi kerja ubah suai hartanah yang dikaitkan dengan pemimpin PKR Melaka itu, selain pemberian cerut premium dan sut tempahan khas.

Anwar menerima keputusan Shamsul itu dan menegaskan SPRM bebas menjalankan siasatan segera terhadap tuduhan itu, tanpa sebarang campur tangan luar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.