Selepas kempen hari ke-11, Bung Moktar dakwa BN sedia tadbir Sabah

Selepas kempen hari ke-11, Bung Moktar dakwa BN sedia tadbir Sabah

BN bertanding 45 kerusi dengan parti ingin bentuk kerajaan perlu tawan 37 daripada 73 DUN untuk mendapat majoriti mudah.

Bung Moktar Radin berkata pengalaman calon serta strategi kempen tersusun meletakkan BN dalam kedudukan terbaik untuk kembali memimpin Sabah. (Gambar BN Sabah)
KOTA KINABALU:
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Bung Moktar Radin mendakwa parti itu kini berada pada tahap kesiapsiagaan maksimum untuk membentuk kerajaan negeri selepas PRN berlangsung Sabtu ini.

Beliau yang akan mempertahankan DUN Lamag berkata kekuatan jentera, pengalaman calon serta strategi kempen tersusun meletakkan BN dalam kedudukan terbaik untuk kembali memimpin negeri itu selepas hari ke-11 kempen.

“Calon kita mempunyai pengalaman dan kemampuan membawa pembaharuan sebenar. Jentera pula bergerak teratur dan agresif.

“Rakyat mahukan kestabilan dan BN adalah jawapannya,” katanya dalam kenyataan sambil menegaskan rakyat sudah letih dengan ketidakstabilan politik dan memerlukan pentadbiran kukuh.

Beliau berkata BN telah mengenal pasti keperluan rakyat di peringkat akar umbi dan merangka langkah-langkah konkrit untuk pembangunan negeri.

“Kami bukan janji bulan bintang. Kami bekerja. Kami memahami kehendak rakyat dan momentum sokongan semakin meningkat di lapangan,” katanya.

BN bertanding 45 kerusi dan parti yang ingin memenangi PRN Sabah perlu menawan 37 daripada 73 DUN untuk mendapat majoriti mudah.

Sebelum ini, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor yakin gabungan itu mampu memperoleh majoriti mudah 37 DUN pada pilihan raya Sabtu ini, daripada 55 kerusi ditandingginya.

Sementara itu, Presiden Warisan Shafie Apdal pula berkata partinya itu sedang mencari mandat cukup untuk mentadbir sendiri, malah berharap mempunyai majoriti dua pertiga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.