
Anwar dalam kenyataan berkata beliau berterima kasih atas perkhidmatan ketua PKR Melaka itu sepanjang memegang jawatan terbabit.
“Berhubung tuduhan timbul, saya menegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas menjalankan siasatan segera, tanpa sebarang campur tangan luar.
“Kerajaan Madani kekal teguh pada prinsip ketelusan dan integriti, dan memberi ruang kepada proses siasatan mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Semalam, Shamsul meletak jawatan sebagai setiausaha politik kanan kepada perdana menteri dengan mendakwa wujud percubaan menyerangnya dengan perkara boleh merosakkan imej kerajaan Madani.
“Justeru, saya mengambil keputusan untuk mempertahankan diri saya daripada serangan ini,” katanya.
Shamsul sebelum ini terpalit kontroversi pengeluaran surat sokongan bagi kontraktor dalam sebuah projek hospital.
Tidak lama selepas itu, Malaysiakini melaporkan ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei, mendakwa beliau telah membelanjakan sebanyak RM629,000 ke atas Shamsul, termasuk bagi kerja ubah suai hartanah yang dikaitkan dengan pemimpin PKR itu, selain pemberian cerut premium dan sut tempahan khas.
Tei sebelum ini didakwa pada Jun lalu atas dua pertuduhan memberi rasuah kepada dua Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah berhubung skandal pelesenan mineral di negeri itu.
Perikatan Nasional (PN) menggesa SPRM menyiasat Shamsul atas dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, susulan dakwaan Tei serta kewujudan surat sokongan yang dikaitkan dengan beliau.