
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu beritahu Dewan Rakyat bahawa Fasal 1 MA63 menyatakan, bahawa Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura bersekutu dengan negeri-negeri sedia ada dalam Persekutuan Tanah Melayu, ‘sebagai Negeri Sabah, Sarawak dan Singapura’.
Katanya, Persekutuan Malaysia terhasil daripada MA63 antara British, Persekutuan Tanah Melayu serta Borneo Utara, Sarawak dan Singapura, dan Dewan Rakyat mengesahkan perjanjian tersebut pada Ogos 1963.
Menurutnya lagi, ‘Persekutuan’ telah ditafsirkan bawah Perkara 160(2) Perlembagaan sebagai ertinya, antara lain, “Persekutuan yang dikenali sebagai Malaysia dengan Koloni Borneo Utara, Sarawak dan Negeri Singapura bersekutu dengan Negeri-negeri sedia ada dalam Persekutuan Tanah Melayu sebagai Negeri Sabah, Sarawak dan Singapura,” katanya.
Azalina menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) yang bertanya bila kerajaan akan meminda sebutan Sabah dan Sarawak sebagai ‘negeri’ kepada ‘wilayah’ atau istilah lain dalam Perlembagaan.
Pada Jan 2023, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata cadangan untuk mengubah status Sabah dan Sarawak daripada ‘negeri’ kepada ‘wilayah’ perlu dirujuk kepada Majlis Raja-Raja terlebih dahulu, mengikut proses.
Katanya, proses itu boleh dijalankan namun sama ada disebut ‘negeri’ atau ‘wilayah’ tidak mengubah sikap dan pendirian kerajaan, bahawa entiti Malaysia adalah Sabah, Sarawak dan Semenanjung Tanah Melayu.
Kerajaan Sabah dan Sarawak sudah lama membantah pindaan pada Perlembagaan di mana Sabah dan Sarawak disenaraikan sebagai antara 13 negeri yang membentuk persekutuan.