
Raymond Cheung yang mengetuai Pejabat Kejuruteraan Geoteknik Hong Kong, berkata perlu ada sistem amaran awal cuaca buruk untuk memberi amaran kepada orang ramai berhubung risiko berpotensi.

Beliau berkata, langkah ini perlu digandingkan libat urus awam bagi membina kepercayaan dan rasa tanggungjawab di peringkat akar umbi.
Memetik rekod baik Hong Kong dalam mengurangkan kejadian tanah runtuh, Cheung berkata, perlu ada komitmen politik dan agensi tunggal yang jelas bertanggungjawab terhadap keselamatan cerun.
Bagi Pulau Pinang, katanya, langkah pertama yang perlu diambil pihak berkuasa ialah membina rekod terperinci semua cerun, termasuk lokasinya.
“Bagi cerun buatan manusia, kita perlu tahu bagaimana ia dibina, sama ada pernah timbul masalah dan apa yang terdapat di bawah cerun itu.
“Dengan katalog betul, kita boleh memahami skala masalah dan memfokuskan cerun paling berisiko terlebih dahulu.”
Beliau berkata, Hong Kong melakukan pembaharuan selepas dua bencana maut pada 1970-an, di mana satu siri tanah runtuh memusnahkan beberapa blok pangsapuri dan rumah yang mengorbankan 156 orang pada Jun 1972 serta lumpur tepu air melimpah ke tingkat bawah sebuah blok pangsapuri yang meragut 18 nyawa pada Ogos 1976.
Beliau menekankan hujan pencetus paling cepat dan biasa bagi tanah runtuh.
Katanya, Hong Kong bermula dengan hanya beberapa alat pengukur hujan beberapa dekad lalu, tetapi kini mempunyai lebih 120 unit di lokasi strategik yang dipantau berterusan.
Jelasnya, 136 alat pengukur hujan di Pulau Pinang mesti dihubungkan kepada sistem amaran betul.
Di Hong Kong, beliau berkata, setiap alat pengukur menghantar data ke platform pusat yang dihubungkan pangkalan data cerun.
“Apabila hujan melebihi paras tertentu, khasnya dalam tempoh 24 jam, amaran awam akan dikeluarkan.”
Menurut garis panduan tapak bukit Pulau Pinang, hampir 40% tanah di pulau itu mempunyai cerun curam melebihi 25 darjah berbanding hanya kira-kira 5% cerun lebih curam daripada 15 darjah di tanah besar.
Bagi kebanyakan orang, berjalan menaiki cerun 25 darjah seperti senaman berat.
Awal bulan ini, Dewan Undangan Negeri dimaklumkan Pulau Pinang merekodkan 20 lubang benam dan 68 tanah runtuh tahun ini, lebih dua kali ganda berbanding tahun lalu. Semua kejadian tanah runtuh berlaku di pulau, kebanyakannya di daerah timur laut dan barat daya.
Hujan lebat turut menyebabkan Empangan Air Itam mencapai kapasiti 99.4%, paras tertinggi sejak 2021, selepas lebih 500mm hujan turun di kawasan tadahan hanya dalam tempoh dua bulan.
Pegawai negeri berkata, hujan berterusan melembutkan tanah dan memburukkan kebocoran paip bawah tanah sudah uzur yang menyebabkan lubang benam.
Bagi meningkatkan pengesanan kejadian sedemikian, Majlis Bandaraya Pulau Pinang membeli sistem radar penembus tanah, manakala Jabatan Kerja Raya menerima RM8.79 juta untuk membaiki dan mengukuhkan 16 cerun berisiko tinggi.
Keyakinan awam juga penting
Cheung berkata, Pulau Pinang tidak perlu meniru strategi Hong Kong serta-merta, sebaliknya perlu bermula dengan langkah kecil dan berkembang dari sana.
Beliau menekankan komunikasi jelas penting untuk membina keyakinan awam terhadap sistem.
“Hong Kong menyokong kerja kejuruteraannya dengan kempen pendidikan awam, panduan untuk pemilik rumah dan kemas kini berkala ketika hujan lebat.”
Beliau turut menekankan kepentingan melantik seorang “pemilik” atau penjaga bagi setiap cerun buatan, sama ada badan kerajaan, perniagaan swasta atau pemilik rumah.
“Di Hong Kong, kami tahu siapa yang bertanggungjawab bagi setiap cerun. Itu memudahkan tindakan susulan,” katanya sambil menambah maklumat sedemikian perlu diumumkan bagi mengelakkan kekeliruan apabila timbul masalah.
Hal ini sangat relevan di Pulau Pinang, di mana banyak cerun dekat kawasan perumahan atau bersempadanan infrastruktur awam, menjadikan tanggungjawab pemeriksaan atau pembaikan tidak jelas.
Katanya, sistem amaran awal hanya berkesan jika orang ramai mempercayainya dan bertindak berdasarkan amaran itu, yang dibina melalui ketelusan dan pendidikan komuniti selama bertahun-tahun.
“Kita tidak perlu mempunyai sistem sempurna untuk mula melindungi rakyat. Sistem amaran berdasarkan paras hujan yang mudah, bersama penetapan tanggungjawab jelas dan komunikasi telus kepada orang awam boleh membawa perbezaan besar.”