
Saksi ke-53, yang guru SMKA Tun Datu Mustapha, Nur Shukriah Mohd Fauzi memberitahu Mahkamah Khas Koroner, Kota Kinabalu semalam dokumen itu mengandungi keterangan bertulis beberapa pelajar yang diambil dua hari selepas kejadian Zara ditemui tidak sedarkan diri.
Pasukan peguam kepada ibu Zara, Noraidah Lamat dalam kenyataan memaklumkan, saksi berkata dokumen penting itu disimpan dalam fail unit disiplin sekolah dan tidak pernah diserahkan kepada pihak polis.
“Saksi juga berkata, dokumen itu tidak pernah dimaklumkan oleh saksi-saksi guru sebelum ini walaupun terdapat di antara mereka yang mengetahui kewujudannya,” katanya lapor Berita Harian.
Menurut peguam, susulan pendedahan mengejut itu, Amir memutuskan bahawa inkues yang bersambung hari ini untuk prosiding sebutan sahaja.
Katanya, koroner juga mengarahkan semua pihak mendapatkan dan meneliti dokumen terbabit serta berbincang sama ada perlu memanggil semula saksi kanak-kanak atau pelajar lain yang terbabit dalam siasatan dalaman sekolah.
Zara, 13, dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth Hospital pada 16 Julai lalu selepas ditemui tidak sedarkan diri di asrama sebelum meninggal dunia sehari kemudian.