
Mahkamah semalam mengarahkan Tan Kim Loong membayar USD2.795 bilion serta kaka Low, May Lin membayar USD809,319, selepas mendapati kedua-duanya menerima dan menyembunyikan dana yang diseleweng daripada 1MDB.
Tan dan May Lin tidak memfailkan pembelaan atau menghadiri perbicaraan, walaupun diserahkan kertas kausa.
Menyambut baik keputusan itu, lembaga pemulihan aset 1MDB berkata keputusan berkenaan merupakan satu lagi langkah ke hadapan dalam usaha menuntut keadilan untuk rakyat Malaysia dan mendapatkan semula dana yang dicuri.
“Keputusan ini menghantar mesej jelas bahawa sesiapa yang mendapat manfaat daripada kecurian terancang terhadap dana berdaulat Malaysia tidak akan terlepas daripada tindakan,” katanya dalam satu kenyataan.
“Lembaga kekal teguh dengan komitmen untuk memastikan semua individu yang memperkayakan diri secara tidak sah dengan aset 1MDB dibawa ke muka pengadilan.
“Kami akan terus meneruskan setiap saluran perundangan, di dalam dan luar negara, untuk mendapatkan pemulangan penuh bagi rakyat Malaysia.”