
Ia membabitkan Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1, Lebuhraya Kemuning-Shah Alam, Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam, Lebuhraya Senai-Desaru, Lebuhraya Lembah Klang Selatan, Lebuhraya Setiawangsa-Pantai, Lebuhraya Kajang-Seremban, Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang, Terowong SMART, Lebuhraya Pesisir Pantai Barat dan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth.
Ahmad berkata, ramai pihak sering mencadangkan pembinaan lebuh raya baharu, namun tidak semua projek mampu menjana pulangan mampan.
“Saya ingin menyatakan ramai yang minat nak bina lebuh raya, tapi saya ingin nyatakan di sini ada 12 konsesi tol berdasarkan laporan kewangan tahun berakhir 2024 yang rugi,” katanya di Dewan Rakyat menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) berhubung prestasi 33 pemegang konsesi lebuh raya.
Beliau berkata, perbezaan prestasi antara konsesi menunjukkan keperluan penilaian teliti sebelum kerajaan atau mana-mana pihak mencadangkan pembinaan lebuh raya baharu.
“Jadi, pada sesiapa yang ingin mencadang lebuh raya sana, lebuh raya sini, buat kiraan betul-betul sebab kalau tak cukup trafiknya, belum tahu boleh untung.”
Beliau memberi contoh cadangan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu yang menimbulkan persoalan sama ada ia mampu menjana keuntungan.
“Dengan anggaran tol RM70, kos (pembinaan) RM10 bilion, untung ke? Kalau tidak untung, jadi payah nanti kerana kerajaan akan menanggung kembali kerugian mengambil alih dan sebagainya.”