‘Warisan yang tunduk’, Joniston sangkal GRS mudah ‘dipicit’ Putrajaya

‘Warisan yang tunduk’, Joniston sangkal GRS mudah ‘dipicit’ Putrajaya

Ketua Penerangan Joniston Bangkuai berkata GRS peroleh pemberian khas RM600 juta tetapi Warisan terima 'bulat-bulat' RM53.4 juta.

Joniston Bangkuai tegaskan Sabah tidak akan menikmati pelbagai bantuan daripada kerajaan pusat jika GRS mudah tunduk.
TUARAN:
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggunakan sentimen ‘Sabah For Sabahan’ dengan bijak tanpa ‘dipicit’ (ditekan) oleh kerajaan persekutuan untuk memastikan rakyat mendapat manfaat, kata Ketua Penerangan Joniston Bangkuai.

Joniston berkata GRS sebagai sebuah parti tempatan memahami aspirasi rakyat Sabah, dan tidak pernah tunduk dalam rundingan hak negeri seperti didakwa pembangkang.

Beliau memberi contoh pemberian khas sementara RM600 juta kepada Sabah sebelum hak hasil 40% dimuktamadkan, selain perjanjian kerjasama komersial (CCA) antara Petronas dan kerajaan negeri yang melonjakkan sektor minyak dan gas (O&G).

“Sewaktu Warisan (tadbir Sabah dari Mei 2018-September 2020) cuma dapat RM53.4 juta yang diterimanya bulat-bulat, tetapi sekarang GRS yang ‘dipicit-picit’ pemberian khas melonjak RM600 juta.

Joniston Bangkuai and Hajiji Noor
Pelbagai manfaat dicapai Sabah hasil pentadbiran Hajiji Noor yang menggunakan pendekatan berhemah seperti dalam isu hasil 40% negeri, menurut Joniston Bangkuai.

“Kalaulah kita mudah ‘dipicit-picit’ takkan kita dapat banyak begitu besar pemberian khas,” kata calon penyandang DUN Kiulu ini kepada FMT, mengulas sentimen pembangkang yang cuba menggambarkan kerajaan negeri mudah ditekan kerajaan pusat.

Calon GRS ini, yang juga ketua penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), berkata pelbagai manfaat dicapai hasil pentadbiran Hajiji Noor yang menggunakan pendekatan berhemah seperti dalam isu hasil 40% negeri, dengan memberi kefahaman kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Jelasnya, Hajiji sebagai ketua kerajaan Sabah menghubungi Anwar supaya keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu tidak dirayu, yang diikuti Putrajaya, disusuli rundingan awal yang bermula 16 Nov lalu.

“Itu cara terbaik bukan bergaduh dengan menggunakan sentimen ‘Sabah for Sabahan’, GRS pun parti tempatan tetapi tak guna pendekatan konfrontasi tetapi lebih kepada konsultasi dalam suasana harmoni.

“Kita tidak tunduk, kalau itu berlaku sudah pasti tiada kejayaan.

“Bagi saya yang tunduk itu Warisan yang kerajaannya dahulu tiada kejayaan pun dalam menuntuk hak negeri,” katanya.

Malah, tegas Joniston, Warisan ketika pentadbirannya gagal membangunkan kawasan setempat seperti di Kiulu, yang berubah selepas GRS ambil alih tampuk pemerintaha mulai September 2020.

“Dua bulan selepas itu, Hajiji bantu Kiulu dapatkan status daerah kecil yang memudahkan proses pentadbiran serta pembangunan.

“Sekarang ini pembinaan jambatan kereta menghubungkan pekan Kiulu-Bayag yang jika siap dapat meningkatkan potensi Kiulu menerusi pembukaan tanah baharu di seberang Sungai Tuaran,” katanya, yang turut merancang pembinaan kompleks sukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.