Tanah runtuh Taman United: Ada penduduk enggan pindah ke PPS, dakwa Teresa

Tanah runtuh Taman United: Ada penduduk enggan pindah ke PPS, dakwa Teresa

Ahli Parlimen Seputeh mendakwa sebahagian penduduk Blok C Pangsapuri Kos Rendah Taman United enggan meninggalkan rumah, walaupun arahan pengosongan dikeluarkan.

Keadaan runtuhan cerun di belakang Blok C Pangsapuri Kos Rendah Taman United di Kuala Lumpur semalam. (Gambar Facebook Teresa Kok)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendakwa sebahagian penduduk Blok C Pangsapuri Kos Rendah Taman United di Kuala Lumpur enggan meninggalkan rumah, walaupun arahan pengosongan dikeluarkan susulan pergerakan tanah dan runtuhan cerun di belakang blok itu semalam.

Beliau berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah mengarahkan semua unit berisiko dikosongkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Saya nak menyeru semua penduduk di Blok C Taman United ikut arahan DBKL demi keselamatan mereka.

“DBKL sudah membuka pusat pemindahan sementara (PPS) di Pusat Komuniti Seri Petaling bagi menempatkan penduduk terjejas,” katanya menurut Berita Harian selepas meninjau kawasan runtuhan itu yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Selangor, Tuan Rusli Tuan Mohamed.

Semalam, media melaporkan dua blok pangsapuri membabitkan 104 unit rumah di Taman United, Seputeh diarah dikosongkan susulan pergerakan tanah akibat tanah runtuh di kawasan cerun.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur menerima laporan kejadian itu pada 11.02 pagi sebelum 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh bersama dua jentera bergegas ke lokasi.

Kok berkata, DBKL dan wakilnya ke Pusat Komuniti Seri Petaling malam tadi untuk menyediakan bantuan makanan, khemah dan kemudahan asas bagi memastikan kebajikan penduduk terjamin.

Katanya, pakar JMG akan menjalankan penilaian geoteknikal bagi menentukan punca pergerakan tanah dan kaedah pemulihan.

“JMG memaklumkan runtuhan berlaku kerana dinding penahan di kaki cerun gagal menahan tekanan sisi tanah selepas berlaku pengumpulan air ketika hujan lebat menyebabkan tekanan hidrostatik meningkat dan struktur pecah.

“Faktor lain termasuk pokok besar di tebing yang menambah beban dan akarnya memasuki struktur, sekali gus mewujudkan titik lemah sebelum cerun gagal dan runtuhan berlaku,” katanya sambil menambah penilaian penuh belum dibuat, tetapi kawasan ‘buffer’ membantu mengelakkan impak.

Beliau berkata, kerjasama penduduk amat diperlukan dalam tempoh kajian itu untuk memastikan keselamatan semua pihak.

“Saya rasa dalam sekurang-kurangnya satu dua minggu ini, pakar dari JMG dan agensi lain perlu buat banyak penganalisaan tanah dan sebagainya untuk menentukan tindakan seterusnya.”

Beliau menasihatkan DBKL mempertimbangkan faktor keselamatan cerun sebelum meluluskan projek berkapasiti tinggi di kawasan sekitar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.