Sekutu, kakak Jho Low diperintah bayar 1MDB USD2.8 bilion

Sekutu, kakak Jho Low diperintah bayar 1MDB USD2.8 bilion

Tan Kim Loong dan Low May Lin tidak memfailkan pembelaan atau menghadiri perbicaraan walaupun diserahkan kertas kausa.

jho low
Tan Kim Loong ialah sekutu Low Taek Jho, manakala Low May Lin merupakan kakak ahli perniagaan dalam buruan itu. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Tan Kim Loong dan Low May Lin yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho membayar 1MDB hampir USD2.8 bilion kerana menerima serta menyembunyikan dana diseleweng.

Hakim Mahazan Mat Taib membuat keputusan memihak kepada 1MDB dan mengarahkan Tan, yang dikenali Eric membayar USD2.795 bilion serta May Lin membayar USD809,319.

Beliau berkata, bukti dikemukakan 1MDB dan empat anak syarikatnya menunjukkan penyelewengan dana rumit serta berlapis yang dilakukan individu berkedudukan dan disokong struktur luar pesisir serta rakan sekutu dipercayai, termasuk kedua-dua defendan.

Bukti itu terdiri daripada rekod korporat, carta aliran dana, dokumen bank dan keterangan saksi tidak dicabar.

Mahazan berkata, plaintif menunjukkan penyelewengan itu membabitkan empat fasa, iaitu “Good Star” (pada 2011), “Aabar” (pada 2012), “Tanore” (pada 2013) dan “Options Buyback” (pada 2014).

Beliau berkata, dalam setiap fasa, wang dikumpul untuk projek negara dialihkan dengan cepat ke entiti luar pesisir dikawal Taek Jho, yang dikenali Jho Low dan sekutunya.

Katanya, bukti menunjukkan Tan yang juga sekutu Jho Low, merupakan pemilik benefisial akaun Alsen Chance dan Blackstone yang menerima USD2.795 bilion dialihkan secara salah daripada 1MDB.

Mahkamah juga mendapati May Lin, kakak Jho Low menerima USD809,319 dalam akaun peribadinya melalui empat pemindahan daripada bapa mereka, Low Hock Peng.

“Pemindahan ini tanpa justifikasi, tiada rasional komersial dan daripada dana diseleweng melalui struktur Good Star.

“Sebagai kakak Jho Low, peranannya selaku benefisiari peribadi dana yang diseleweng selari corak penyembunyian berasaskan keluarga lebih luas.”

Mahkamah turut memutuskan keterangan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi membuktikan perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu, Najib Razak, melaksanakan kawalan de facto ke atas keputusan kewangan 1MDB.

Walaupun Jho Low tidak mempunyai sebarang peranan rasmi, beliau bertindak sebagai proksi dan pengarah bayangan yang diberi kuasa oleh Najib.

Shahrol, pakar pemulihan aset Angela Barkhouse dan penyiasat penipuan kewangan Richard Templeman memberi keterangan dalam perbicaraan tanpa bantahan pada 6 Okt.

Tan dan May Lin tidak memfailkan pembelaan atau menghadiri perbicaraan, walaupun diserahkan kertas kausa.

Peguam K Siva Kumar dan Lee Shih mewakili 1MDB.

Mahkamah turut memerintahkan RM500,000 sebagai kos kepada 1MDB.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.