Pemimpin KDMR gesa rakyat bersatu, tapi dorong perpecahan politik, kata aktivis

Pemimpin KDMR gesa rakyat bersatu, tapi dorong perpecahan politik, kata aktivis

Seorang aktivis akar umbi berkata Kadazandusun Murut Rungus bersatu dalam aspirasi mereka, tetapi berpecah akibat perpecahan politik selama bertahun-tahun.

Joseph Pairin Kitingan, Bernard Dompok and Jeffrey Kitingan
Joseph Pairin Kitingan dari PBS, Bernard Dompok dari Upko dan Presiden STAR Jeffrey Kitingan baru-baru ini muncul dalam satu video menggesa rakyat Sabah bersatu bersama parti tempatan.
PETALING JAYA:
Seorang aktivis akar umbi Kadazandusun Murut Rungus (KDMR) mendakwa ahli politik kanan komuniti itu hanya memperjuangkan perpaduan secara retorik, tetapi tindakan mereka sebenarnya mendorong perpecahan politik.

Aktivis enggan dinamakan itu berkata, masyarakat KDMR bersatu dalam kebanyakan aspek – khasnya dalam hal budaya, warisan, hak Sabah dan aspirasi sendiri.

Tetapi, katanya, perpecahan komuniti kepada pelbagai parti politik didorong generasi pemimpin lebih tua, yang berulang kali berpisah untuk menubuhkan entiti baharu akibat perbalahan dan perselisihan.

Merujuk video yang tersebar baru-baru ini, beliau berkata, pemimpin kanan KDMR dilihat menggesa rakyat Sabah bersatu bersama parti tempatan adalah tokoh bertanggungjawab mencetuskan perpecahan dalam komuniti itu.

Menurutnya, individu ini tidak banyak membantu dalam menghalang parti dari Semenanjung didakwa merampas hak Sabah yang sepatutnya menjadi milik negeri ini, bahkan turut mendapat manfaat daripadanya pada tahap tertentu.

“Sekarang mereka bercakap tentang bersatu dan berjuang, tetapi melawan apa? Setahu saya, mereka hanya bergaduh antara satu sama lain, menggunakan parti Malaya dan kerajaan persekutuan sebagai momok untuk meraih lebih banyak sokongan.

“Mereka mungkin bercakap tentang perpaduan KDMR, tetapi nampaknya mereka hanya mahu menjadi panglima. Semua pemimpin KDMR ini senada dan hanya mahu mengalahkan satu sama lain,” katanya kepada FMT.

Pemimpin kanan KDMR seperti pengasas Parti Bersatu Sabah (PBS) Joseph Pairin Kitingan, Presiden pengasas Upko Bernard Dompok dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Jeffrey Kitingan baru-baru ini muncul dalam sebuah video menggesa rakyat Sabah bersatu dan menyokong parti tempatan dalam PRN 29 Nov ini.

Turut serta pemangku Presiden PBS Dr Joachim Gunsalam, Presiden Upko Ewon Benedick dan bekas ketua hakim negara Richard Malanjum.

Jeffrey, Ewon dan Joachim menegaskan parti mereka yang berasaskan KDMR berkongsi visi sama untuk Sabah, walaupun mereka sedia bersaing sesama sendiri dalam pilihan raya. STAR dan Upko khasnya akan bertembung di lebih 20 kerusi.

Baru-baru ini, Upko meninggalkan Pakatan Harapan (PH), manakala STAR keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dengan kedua-duanya mengetengahkan slogan “Sabah First” dan “Sabah for Sabahan”.

Pairin menubuhkan PBS pada 1985 selepas meninggalkan Berjaya, tetapi partinya turut mengalami perpecahan yang membawa kepada pembentukan pelbagai parti serpihan, termasuk Upko, Parti Bersatu Rakyat Sabah, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Akar yang kini dibubarkan.

Campur tangan Malaya dalam perpecahan politik KDMR?

Penganalisis politik, Lee Kuok Tiung, berkata perpecahan parti KDMR berlaku merentasi generasi dan sudah menjadi realiti selama bertahun-tahun.

Apa yang berubah, katanya, ialah peningkatan sentimen parti tempatan – mendorong lebih banyak parti ini untuk beralih dan memanfaatkan gelombang semakin berkembang.

Tetapi, Lee mendapati parti tempatan itu sendiri berpecah belah.

“Jika mereka bergabung dan bekerjasama, mungkin ada impak ketara. KDMR pada dasarnya berkongsi semangat dan aspirasi sama, walaupun daripada parti berbeza.”

Lee dari Universiti Malaysia Sabah berkata, usaha menyatukan semua parti KDMR bukan perkara baharu, dengan Ketua Menteri sementara, Hajiji Noor berjaya menyatukan PBS dan STAR di bawah payung sama selama beberapa tahun.

Menurutnya, perpecahan itu kurang kaitan dengan perebutan kuasa dan jawatan ahli politik, tetapi lebih kepada pendekatan berbeza memperjuangkan hak Sabah.

Katanya, sebahagiannya mungkin disebabkan “pengaruh Malaya” serta hasil strategi “pecah dan takluk” yang diguna pakai dahulu.

“Ketika itu, ‘mereka’ akan galak anda tinggalkan parti asal, daftar parti baharu dan menjadi presiden parti.

“Mereka memperkenalkan sistem penggiliran ketua menteri untuk memuaskan hati semua orang, dengan setiap seorang memegang jawatan itu selama dua tahun setiap penggal.”

Sistem penggiliran diperkenalkan pada 1994 oleh Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, dengan peranan dikongsi antara pemimpin dari tiga komuniti Sabah: Bumiputera Kristian, Bumiputera Islam dan Cina.

Sentimen tempatan nyata, tetapi tanpa pendahulu

Aktivis KDMR enggan dinamakan itu berkata, sentimen parti tempatan sangat kuat dalam komuniti berkenaan, tetapi akibat perpecahan politik, tiada sebuah pun parti yang kelihatan mendahului menjelang PRN.

Katanya, perpecahan itu malah boleh memecahbelahkan undi, yang mungkin memanfaatkan parti lain dalam saingan itu.

Lee berkata, secara keseluruhan, GRS yang disokong kelebihan penyandang jawatan, kekal pesaing terkuat menjelang PRN, manakala Warisan semakin muncul sebagai kuasa alternatif paling banyak diperkatakan.

Beliau menyifatkan keputusan Warisan bertanding solo bercita-cita tinggi dan berisiko kerana rakyat Sabah mungkin mempersoalkan rancangan masa depannya dan pengundi ingin tahu siapa rakan kongsinya untuk membentuk kerajaan.

Lee mengakui Warisan kelihatan popular di media sosial, tetapi ini mungkin lebih kepada hasil algoritma platform, bukannya sentimen sebenar di lapangan.

Mengenai kemungkinan DUN tergantung, katanya: “Kita tidak boleh menolak sebarang kemungkinan ketika ini. Tiada siapa patut leka dengan kedudukan mereka, sebaliknya perlu berusaha lebih keras untuk menang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.