
Anwar yang juga menteri kewangan menegaskan, daging lembu merupakan bahan mentah yang terlampau mahal di pasaran ketika ini.
“Justeru, tumpuan kita adalah untuk memperluas sumber import dan permudah proses supaya kos kepada pengguna dan orang ramai jadi lebih rendah,” katanya kepada pemberita.
Beliau diajukan soalan sama ada pemansuhan tarif ke atas hasil pertanian dan daging lembu dari Kenya akan menjejaskan petani tempatan, serta bagaimana ia akan mempengaruhi situasi keterjaminan makanan negara.
“Kita sangat selektif, namun dalam pada kita hendak lindungi petani tempatan, kita juga mesti lindungi pengguna,” katanya.
“Apabila harganya munasabah, kita boleh pertahankan, tetapi kita memang sedia import daging lembu. Mengapa kita hanya import dari negara-negara tertentu sahaja? Mengapa perlu dipersulit apabila libatkan negara yang kurang berjaya dari segi ekonomi?”
Anwar berkata, selagi agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berpuas hati dengan import daging tersebut dan semua prosedur serta parameter dipatuhi, tiada sebab untuk mendiskriminasi negara yang berpendapatan lebih rendah.
Mengenai impak kewangan akibat pemansuhan tarif tersebut, Anwar berkata, Malaysia hanya akan menanggung impak yang ‘sangat kecil, sangat tidak ketara’.
“Namun, yang lebih penting, isunya bukan tentang mansuh atau kekal dasar tarif. Persoalan utamanya adalah, bagaimana kita hendak turunkan harga?
“Proses ini agak perlahan, dan seperti kita sedia maklum, harga daging lembu sememangnya tidak munasabah mahalnya,”
Malaysia mengimport kuantiti daging lembu yang besar, iaitu sekitar 150,000 tan metrik setiap tahun sejak kebelakangan ini, dengan bekalan kebanyakannya datang dari negara-negara seperti India, Australia, Brazil dan New Zealand.
Majoriti daging import pada 2023 adalah dari India, yang menyumbang kira-kira 75% daripada pegangan pasaran import, diikuti oleh Australia dengan kira-kira 11%.