
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin, berkata langkah itu bagi memastikan tiada calon membawa peranti atau barangan dilarang ke dalam dewan peperiksaan selaras perkembangan teknologi yang membolehkan rakaman atau komunikasi secara tersembunyi.
“Semua pusat-pusat peperiksaan ada alat ini untuk disaring kerana tujuannya untuk mengenal pasti barang-barang yang dilarang supaya tidak dibawa ke pusat peperiksaan,” katanya menurut Bernama.
Beliau ditemui selepas melakukan tinjauan hari pertama SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, Johor Bahru.
Aznan berkata, penggunaan alat pengesan logam itu membolehkan guru melakukan imbasan awal terhadap calon sebelum mereka memasuki dewan sekali gus meminimumkan risiko pelanggaran peraturan peperiksaan.
Semua sekolah yang menjadi pusat peperiksaan SPM dibekalkan satu unit alat pengesan logam oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor bagi memastikan pelaksanaan berjalan seragam di seluruh negeri.
Beliau berkata, penggunaan alat itu berpotensi diperluas ke peringkat harian di sekolah dan ia akan dibincangkan lebih lanjut tahun depan.
Sementara itu, beliau memberikan jaminan kerajaan negeri dan JPN Johor menyediakan pelan kesiapsiagaan penuh bagi memastikan perjalanan peperiksaan SPM tidak terjejas jika berlaku cuaca tidak menentu atau banjir di beberapa kawasan.
Sehingga kini, sebanyak 49,654 calon SPM di seluruh negeri, termasuk pelajar sekolah kerajaan, swasta, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan calon persendirian, menduduki peperiksaan dengan semua 372 pusat peperiksaan beroperasi seperti biasa tanpa gangguan banjir.
Langkah penyelarasan awal turut dilaksanakan bersama pejabat pendidikan daerah (PPD) termasuk penetapan sekolah yang mungkin berfungsi sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) jika berlaku banjir.
Aznan berkata, pemantauan ditingkatkan khususnya di daerah berisiko seperti Segamat dan beberapa lokasi ‘hotspot’ lain berdasarkan pengalaman banjir sebelum ini, selain berharap keseluruhan peperiksaan hingga 23 Dis berlangsung tanpa sebarang gangguan.