Belum ada pemenang jelas usai minggu pertama kempen PRN Sabah, kata badan pemikir

Belum ada pemenang jelas usai minggu pertama kempen PRN Sabah, kata badan pemikir

Hisomuddin Bakar dari Ilham Centre berkata calon perlu berusaha menawan pengundi atas pagar yang majoritinya pemilih kali pertama.

WARISAN HARAPAN STAR PIS PBK FLAG PRN SABAH
Sebanyak 22 parti bertanding pada PRN Sabah 29 Nov ini membabitkan 596 calon termasuk daripada bebas.
KOTA KINABALU:
Kempen minggu pertama PRN Sabah menyaksikan belum ada pemenang jelas, menurut tinjauan badan pemikir yang menggesa parti melipatgandakan usaha menawan kelompok pengundi atas pagar.

Ketua Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar, berkata majoriti segmen pengundi itu terdiri individu kali pertama mengundi terutama 126,979 pengundi berusia 18 hingga 20 tahun.

Hisomuddin Bakar.
Hisomuddin Bakar.

Secara keseluruhan seramai 1.78 juta layak mengundi pada pilihan raya itu dengan pecahan usia pengundi lain 406,950 (21-30) 426,170 (31-40), 313,102 (41-50), 224,128 (51-60), 171,682 (61-70), 75,620 (71-80), 24,873 (80-90) dan 15,339 (91 ke atas).

Berkongsi hasil awal tinjauan di lapangan kepada FMT, Hisomuddin berkata pihaknya mendapati suasana masih terbuka kepada semua parti walaupun sebahagian besar pengundi sudah menetapkan pilihan mereka.

“Fasa akhir berbaki seminggu memerlukan semua calon berusaha menawan pengundi yang masih menilai atas pelbagai faktor, majoriti pemilih kali pertama.

“Uniknya di Sabah, pola pengundian lebih terarah kepada faktor calon melebihi faktor lain sama ada isu yang dimainkan atau kekuatan pengaruh parti yang bertanding.

“Faktor ini memberi peluang sama rata antara calon lain mempamerkan keupayaan mereka supaya terpilih mewakili pengundi kawasan DUN ditandingi walaupun calon bebas tanpa parti,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan seramai 596 calon bertanding dalam PRN Sabah, 74 daripadanya atas tiket bebas, manakala Warisan satu-satunya parti meletakkan calon di semua 73 kerusi.

Parti Impian Sabah mempertaruhkan 72 calon, diikuti Gabungan Rakyat Sabah (55), Parti Solidariti Tanah Airku (46), Barisan Nasional (45), Perikatan Nasional (42), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (40), Upko (25), Pakatan Harapan (22) dan Parti Kebangsaan Sabah (20).

Parti lain meletakkan kurang daripada 20 calon, iaitu Parti Kerjasama Anak Negeri (17), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (16), Parti Bumi Kenyalang (14), Parti Rumpun Sabah (tujuh), Parti Maju Sabah dan Perjuangan Rakyat (masing-masing enam) dan Parti Damai Sabah (lima).

Ini diikuti Pertubuhan Gemilang Anak Sabah, Parti Bangsa Malaysia dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak dengan masing-masing tiga calon, Parti Bersatu Sasa Malaysia dan Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah dengan seorang calon masing-masing.

Penyelidik Borneo Geopolitics and Electoral Studies, Syahruddin Awang Ahmad, berkata tempoh sehingga pengundian Sabtu ini perlu digunakan sebaik mungkin untuk memastikan penyokong tegar dan pengundi atas pagar mengundinya.

Syahruddin Awang Ahmad.
Syahruddin Awang Ahmad.

“Fokus utama juga dalam tempoh itu akan beralih daripada kempen besar-besaran kepada pendekatan lebih peribadi dan berasaskan lokasi spesifik.

“Aktiviti seperti ceramah mega akan digantikan dengan sesi ‘turun padang’, lawatan rumah ke rumah dan perjumpaan kecil di kawasan ‘panas’ atau mempunyai majoriti pengundi atas pagar yang kritikal.

“Pada masa sama penggunaan media sosial dan aplikasi pesanan seperti WhatsApp juga semakin diperhebatkan untuk menyampaikan mesej terakhir, menangkis tohmahan saat akhir dan menyebarkan maklumat mengundi tepat terutamanya kepada golongan pengundi muda,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.