53 kertas siasatan dibuka sepanjang kempen PRN Sabah

53 kertas siasatan dibuka sepanjang kempen PRN Sabah

Polis terima 85 laporan sepanjang tempoh kempen mulai 15 Nov lalu.

Jauteh Dikun
Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun menasihatkan semua pegawai dan anggota terbabit dalam pengundian awal ke lokasi pengundian seawal mungkin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis membuka 53 kertas siasatan daripada 85 laporan yang diterima sepanjang tempoh kempen PRN Sabah bermula 15 Nov lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun, berkata ia termasuk beberapa kes salah guna media sosial dan perbuatan khianat, khasnya vandalisme membabitkan poster, bendera serta bahan kempen lain.

Sehingga malam tadi, beliau berkata 7,288 permit kempen dikeluarkan kepada semua petugas kempen pilihan raya dan lebih 12,000 anggota polis akan dikerahkan ke seluruh Sabah pada hari mengundi Sabtu ini.

“Segala persiapan dilakukan sebaik mungkin. Kami mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya dan semua agensi terbabit dalam pengurusan pilihan raya ini bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

“Bagi pihak polis, kami bersedia sepenuhnya untuk memberikan perkhidmatan, khususnya dari segi keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya menurut Berita Harian selepas mengundi awal di IPK Sabah, Kota Kinabalu.

Beliau menasihatkan semua pegawai dan anggota terbabit dalam pengundian awal ke lokasi pengundian seawal mungkin.

“Buat masa ini, cuaca masih baik, jadi kami galakkan mereka hadir awal untuk menunaikan tanggungjawab. Walaupun khemah disediakan, hujan boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada pengundi.”

Setakat 11 pagi tadi, peratusan keluar mengundi awal mencecah 61.72%.

Menurut SPR, seramai 24,426 pengundi awal dijangka menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.