Tiada arahan sokong BN atau GRS di kerusi bertembung, kata PKR

Tiada arahan sokong BN atau GRS di kerusi bertembung, kata PKR

Setiausaha Agung Fuziah Salleh berkata kepimpinan pusat akan memutuskan pihak mana akan disokong berdasarkan kes demi kes.

Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh, berkata kepimpinan pusat akan memutuskan calon mana akan disokong ‘bila tiba masa’.
KUALA LUMPUR:
PKR tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada ahli di Sabah mengenai parti mana yang patut disokong di kerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) bertembung pada PRN.

Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh, berkata kepimpinan pusat akan memutuskan pihak mana yang akan disokong di kawasan berkaitan berdasarkan peluang menang calon-calon individu.

Beliau menambah, keputusan mengenai calon mana akan disokong akan dibuat ‘bila tiba masa’.

“Pada ketika ini, tiada arahan secara menyeluruh. Kami melakukannya mengikut kes berdasarkan siapa yang lebih berpeluang menang,” kata Fuziah kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan E-Dagang Asean 2025 di Hotel Grand Hyatt.

Pakatan Harapan (PH), yang mana PKR antara komponennya, mencapai pakatan pilihan raya berasingan dengan BN dan GRS pada PRN, 29 Nov di Sabah.

BN dan GRS bertembung di sebahagian kerusi.

Jumaat lalu, satu cawangan PKR telah menyatakan sokongannya kepada calon BN di Tempasuk, di mana GRS juga ada meletakkan calon.

Ketua Penerangan PKR Tempasuk Aziz Bilin, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kerjasama antara PH-BN di peringkat persekutuan.

Berlaku pertembungan tujuh penjuru di Tempasuk dengan calon GRS Arsad Bistari berusaha mempertahankan kerusinya, selepas menang pada PRN 2020 atas tiket BN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.