Parti tempatan sahaja bentuk kerajaan boleh ‘makan diri’, kata penganalisis

Parti tempatan sahaja bentuk kerajaan boleh ‘makan diri’, kata penganalisis

Awang Azman Awang Pawi berkata idea 'Sabah untuk orang Sabah' ada daya tarikan berkait autonomi namun memupuk pengasingan bukan integrasi.

Minggu lalu, sekumpulan pemimpin politik Sabah dan ketua parti menyokong kempen kerajaan negeri yang akan dibentuk dianggotai parti tempatan sahaja. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Desakan sesetengah ahli politik Sabah untuk parti tempatan secara eksklusif membentuk kerajaan negeri boleh memakan diri, menurut seorang penganalisis politik.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya, berkata walaupun idea ‘Sabah untuk orang Sabah’ mempunyai daya tarikan tempatan, menyentuh autonomi dan identiti negeri, dalam jangka masa panjang tidak sesuai dengan keperluan kerjasama persekutuan.

Beliau berkata, Sabah perlu bekerjasama dengan baik dengan kerajaan persekutuan memandangkan pembangunan negeri itu bergantung pada penjajaran politiknya dan bukan secara pengasingan.

Kerajaan negeri yang terdiri daripada parti tempatan sahaja tidak menjamin autonomi atau pembangunan lebih besar, kata Awang Azman.

Beliau berkata, hak Sabah mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) boleh dipenuhi dengan lebih cepat melalui kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan.

“Sabah memerlukan integrasi, bukan pengasingan,” katanya kepada FMT. “Slogan ‘Sabah untuk orang Sabah’ adalah naratif politik, bukan pelan tindakan pembangunan.”

Beliau juga berkata, kekuatan satu-satu negeri tidak bergantung pada parti yang membentuk kerajaannya, sebaliknya pada pentadbiran yang cekap.

Beliau mengulas mengenai seruan pemimpin tempatan dan pemimpin parti Sabah, yang pada perbincangan meja bulat pada Sabtu, menyatakan PRN pada 29 Nov seharusnya menjadi referendum membentuk kerajaan terdiri sepenuhnya parti Sabah.

Antara yang mengambil bahagian ialah pengasas Parti Bersatu Sabah Pairin Kitingan, pengasas Upko Bernard Dompok, bekas ketua hakim negara, Richard Malanjum, Presiden Upko Ewon Benedick, dan adik Pairin, Jeffrey Kitingan, yang juga presiden Parti Solidariti Tanah Airku.

Awang Azman berkata, kerajaan negeri terdiri parti tempatan mungkin meletakkan Sabah dalam keadaan merugikan apabila berunding dengan kerajaan persekutuan.

Kerajaan negeri seumpama itu juga boleh menyebabkan pengurangan peruntukan untuk pembangunan atau kelewatan dalam projek jalan raya dan sekolah, katanya.

“Sabah masih memerlukan dana persekutuan. Penolakan sepenuhnya terhadap parti berpangkalan di Semenanjung mungkin melemahkan kuasa tawar-menawar Sabah untuk mendapatkan dana.”

Beliau juga mengingatkan parti Sabah sarat dengan kes pembelotan, perebutan kepimpinan, dan gabungan yang rapuh, menjurus kerajaan negeri dibentuk oleh parti Sabah semata-mata sebagai berisiko.

James Chin dari University of Tasmania, berkata kerajaan negeri yang hanya terdiri parti tempatan boleh mencetuskan masalah kepada kerajaan persekutuan.

“Kerajaan terdiri daripada rakyat (parti) Sabah sahaja akan mendesak lebih kuat untuk perkongsian hasil penuh 40%. Itu akan menjadikan rundingan dengan Putrajaya lebih sukar bagi Perdana Menteri Anwar Ibrahim,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.