
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, kesihatan tubuh dan ketenangan minda merupakan tonggak utama bagi prestasi yang benar-benar cemerlang.
Titah baginda lagi, dalam dunia akademik dan profesional, graduan digalakkan untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan, namun pada masa sama, beri ruang untuk berehat dan dapatkan sokongan demi mengekalkan kesejahteraan serta prestasi jangka panjang.
“Setiap kegagalan atau kelewatan dalam penyelidikan bukanlah noktah, sebaliknya komponen penting dalam proses pembelajaran. Pandanglah cabaran sebagai latihan untuk kukuh kekuatan minda dan emosi, bukannya beban yang mematahkan semangat.
“Jangan sesekali hadapi tekanan berseorangan. Rakan penyelidik, penyelia, keluarga dan rakan sekerja boleh menjadi sumber kekuatan. Kadang kala, sekadar didengari pun sudah cukup untuk meringankan beban,” titah baginda.
Demikian titah Tuanku Raja Muda, merangkap Canselor, ketika menyempurnakan Sidang Ketiga Istiadat Konvokesyen 20 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP di Pauh Putra.
Pada sidang tersebut, seramai 521 graduan daripada Fakulti Perniagaan dan Komunikasi menerima penganugerahan masing-masing.