MTL: Kedah negeri ke-3 dilanda bah

MTL: Kedah negeri ke-3 dilanda bah

Daerah Kulim terjejas melibatkan 225 mangsa daripada 66 keluarga.

Jumlah mangsa di Kelantan meningkat kepada 1,623 pagi ini berbanding 1,170 malam tadi, namun di Terengganu situasi banjir menunjukkan sedikit penurunan jumlah mangsa. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jumlah mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini berjumlah 2,112 mangsa dengan Kedah menjadi negeri terbaharu selepas Kelantan dan Terengganu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah, memaklumkan semua 225 mangsa daripada 66 keluarga dari daerah Kulim ditempatkan di PPS Masjid al-Muhtadin Sungai Seluang, Surau Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) Naga Lilit, dan Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Dik.

“Mukim yang terlibat ialah Sungai Seluang dan mangsa adalah dari Kampung Siam, Kampung Bukit Sarang Ayam, Kampung Paya Serdang, Kampung Titi Tok Aris dan Kampung Padang Cina,” lapor Bernama .

Sementara itu, mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 1,623 pagi ini, berbanding 1,170 malam tadi melibatkan tiga jajahan susulan hujan lebat berterusan tahap waspada sejak Jumaat lalu.

Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan 12 PPS kini beroperasi di Kota Bharu, Tumpat, dan Bachok.

PPS yang terlibat di Kota Bharu ialah SK Sering, SK Raja Sakti, SK Tapang, SK Parang Puting, SK Islah, SK Seribong, dan SK Sabak, manakala di Tumpat melibatkan SK Seri Tumpat 2 dan SK Pengkalan Kubor 2, selain tiga PPS di Bachok, iaitu SK Sembilan Pauh, SK Jelawat dan SK Pa’Pura.

Di Terengganu, situasi banjir menunjukkan sedikit penurunan jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS, berbanding malam tadi.

Menurut laman web info bencana JKM, 264 mangsa daripada 87 keluarga dari Kampung Baru, Pulau Redang masih berlindung di PPS Masjid Kampung Pulau Redang di Kuala Nerus, berbanding 276 mangsa malam tadi.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat, dan angin kencang yang dijangka berlaku di tujuh negeri setakat 1 tengah hari ini.

MetMalaysia dalam kenyataan, memaklumkan negeri terlibat ialah Perak membabitkan kawasan Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim, serta Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis dan Raub).

Turut terlibat ialah kawasan Sabak Bernam dan Hulu Selangor di Selangor; Port Dickson, Rembau dan Tampin di Negeri Sembilan; Tangkak dan Muar di Johor, serta Melaka.

Amaran itu turut melibatkan kawasan Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran, dan Sandakan) selain Kudat di Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.