
Terkenal dengan jolokan ‘Ampal’, beliau kalah dalam pertandingan lima penjuru itu dan hilang deposit apabila hanya meraih 322 undi.
Sempena PRN17 bakal berlangsung 29 Nov ini, beliau kembali ke medan pilihan raya dan kali ini bertanding atas tiket Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM).
Namun, cabaran pelantun lagu ‘Orang Kita’ dan ‘Khabar Dari Gunung’ bukan mudah kerana perlu berdepan calon ‘heavyweight’, Masiung Banah yang mewakili DUN Kuamut sejak tiga penggal lalu bermula 2008.
Tetapi, Abu Bakar, 63, tetap optimis dengan peluangnya dalam pertandingan lapan penjuru termasuk Masiung yang dicalonkan oleh Gabungan Rakyat Sabah.
“Politik ini sukar diramal lebih-lebih lagi melihat ramai orang mahu perubahan besar kerana melihat tiada kemajuan ketara di Kuamut.
“Jadi ia mungkin satu kelebihan mendekati pengundi,” katanya kepada FMT.
Abu Bakar menjadikan isu pemilikan tanah penduduk kampung sebagai keutamaan jika menang dengan menyasarkan setiap ketua rumah wajar memiliki sebidang tanah boleh diwariskan kepada generasi seterusnya.
“Sekarang ramai penduduk sudah menetap berpuluh tahun tetapi permohonan tanah mereka masih belum diselesaikan walaupun selepas 30 hingga 40 tahun.
“Kelewatan itu menyebabkan banyak tanah akhirnya diluluskan kepada orang luar,” dakwanya yang menyifatkan isu itu penting kerana membabitkan maruah serta kuasa.