
Jaminan itu diberikan Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir, menegaskan hak pelajar untuk mengundi dijamin Perlembagaan.
Beliau mengambil contoh Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menetapkan tarikh baharu konvokesyen bagi membolehkan pelajar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Dua bulan lalu, ditimbulkan sama ada kementerian perlu menimbangkan kedudukan mahasiswa, sama ada yang belajar di UMS Sabah, ataupun di Semenanjung, bagi membolehkan mereka pulang… khususnya di UMS, kerana 60% pelajar yang belajar di UMS itu adalah anak-anak Sabah. Jadi, pihak universiti sudah pun membuat keputusan untuk dianjak sikit hari konvokesyen.
“Walaupun di peringkat awal ada sedikit ‘pros and cons’, ada yang kata tak setuju, ada kata setuju, tapi akhirnya ia dapat diselesaikan,” katanya pada majlis makan malam bersama media sempena PRN Sabah.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, pihak universiti memahami akan keperluan penjaga khususnya ibu bapa dan pelajar yang terbabit dalam acara itu, namun pada sama perlu menunaikan tanggungjawab mengundi.
“Kita tidak mahu dilihat KPT cuba menghalang pelajar-pelajar untuk tidak mengundi kerana hak mengundi ini sudah pun ditetapkan dalam Perlembagaan.
“Jadi, kita selesaikanlah. Kita akan benarkan untuk mereka pergi balik mengundi,” katanya.
Mengenai cadangan meletakkan pelajar dalam kategori pengundi pos, Zambry berkata tidak ada perbincangan antara kementerian dan SPR mengenainya setakat ini.
“Kriteria pengundi pos untuk pelajar yang ada bagi satu pilihan raya belum ada ditetapkan oleh SPR. Apa-apa pun, kita serahkan pada SPR,” katanya.